Berita Utama

Kes ugut Ayob Khan: Melampau! Kekalkan LTTE sebagai pengganas

Jika kerajaan dulu tak lepas 12 ahli LTTE, pasti tiada ancaman berlaku

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 7 Jamadilawal 1442H, Selasa – Tindakan kerajaan terdahulu menarik balik pertuduhan terhadap 12 tertuduh yang dikaitkan dengan aktiviti Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), punca kumpulan pengganas itu ‘berani’ mengugut polis.

Timbalan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni berkata, tindakan itu secara tidak langsung memberikan nafas kepada LTTE untuk menyusun semula pergerakan mereka.

Ini termasuk ugutan bunuh yang diterima Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menerusi satu panggilan telefon yang dipercayai oleh anggota kumpulan pengganas berkenaan.

“Ugutan oleh tiga individu dipercayai anggota LTTE untuk membunuh Datuk Ayob adalah satu tindakan yang melampau dan mencetuskan rasa bimbang di kalangan rakyat Malaysia.

“Kalau sekiranya tindakan tegas diambil (terhadap 12 tertuduh sebelum ini) kemungkinan ancaman seumpama ini tidak akan berlaku,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Berdasarkan maklumat yang diterima, ugutan dilakukan tiga anggota LTTE warga tempatan yang berada di Selangor.

Panggilan telefon itu mengatakan ada tiga orang anggota LTTE dari Selangor akan datang ke Johor untuk membunuh Ayob Khan.

Susulan itu, Polis Johor memaklumkan akan bekerjasama dengan Polis Selangor untuk mengenal pasti tiga individu terbabit.

Serentak itu, Ustaz Muhammad Fauzi menggesa kerajaan supaya bertegas dan konsisten menyenaraikan LTTE sebagai pertubuhan pengganas di Malaysia.

“Jangan sesekali tunduk kepada tekanan mana-mana pihak yang mahu LTTE dikeluarkan daripada senarai pengganas.

“Rakyat yang memerhatikan perkembangan menilai apa yang berlaku sebagai satu keadaan yang boleh menggugat keselamatan awam.

“Kerajan perlu buktikan kepada rakyat bahawa mereka boleh mengawal suasana dan memastikannya aman dengan cara mengambil tindakan tegas terhadap ugutan tersebut,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button