Berita Utama

UMNO akan letak calon diterima penduduk walaupun pernah kalah

'Buat penilaian sama ada orang boleh terima atau tidak'

BANGI, 14 Safar 1444H, Ahad – UMNO akan meletakkan calon yang boleh diterima penduduk di kawasan ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Bagi UMNO, tidak menjadi masalah sekiranya memilih calon yang pernah tewas dalam pilihan raya umum sebelum ini sekiranya diterima penduduk, kata Naib Presidennya, Datuk Mahdzir Khalid.

“Tak apalah. Itu (pilihan raya umum sebelum ini) masa dia kalah. Masa dia menang pula?(jika menang PRU-15 nanti).

“Sebenarnya, pandangan cawangan UMNO pun kita ambil kira. Tapi kita buat penilaian (sebelum memilih calon) berdasarkan kriteria sama ada orang boleh terima dia atau tidak.

“Bukan setakat parti boleh terima, tapi nak tengok ‘public’ (orang awam) tu boleh terima dia juga atau tidak,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia, hari ini.

Mengulas lanjut Mahdzir berkata, pilihan raya umum berbeza daripada sistem Pilihan Raya Presiden seperti di sesetengah negara lain yang bergantung kepada undi popular untuk menang.

“Kita buat pilihan raya untuk pilih ahli Parlimen atau ADUN (Dewan Undangan Negeri). Maknanya di situ, (pilih) di situ sahaja atau setempat.

“Jadi, kalau kat situ kita buat tinjauan ada orang terima calon itu, maka kita akan ambil orang itu untuk diketengahkan sebagai calon parti,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Cawangan UMNO Seberang Perak, Datuk Dr. Guntur Tobeng mencadangkan supaya tidak mencalonkan semula calon yang tewas pada PRU sebelum ini kerana calon itu jelas ‘ditolak’ oleh rakyat.

Beliau mendakwa, tindakan mengambil calon tewas hanya menjejaskan kredibiliti parti.

Bahkan, ia seolah-olah dilihat tidak mempunyai barisan pelapis sehingga tetap mengetengahkan individu yang sudah tidak diterima oleh pengundi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button