Berita Utama

Polis rampas 13.77 kg dadah, 2 ahli sindiket di Johor tumpas

Suspek direman 7 hari untuk siasatan di bawah Akta Dadah Berbahaya

BANGI, 7 Jamadilawal 1442H, Selasa – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan dua ahli sindiket pengedaran dadah di negeri Johor.

Suspek lelaki berumur lingkungan 31 hingga 38 tahun itu ditangkap dalam satu serbuan yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dan Johor di sekitar Seri Alam pada 20 Disember lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, hasil serbuan itu pihak polis turut merampas 13.77 kilogram dadah jenis heroin bernilai RM153,178.

Beliau berkata, pihaknya turut menyita empat buah kenderaan, wang tunai ringgit Malaysia dan Singapura, serta barang kemas bernilai RM185,775.

“Hasil saringan urin mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis MOP dan THC manakala hasil semakan rekod mendapati satu suspek mempunyai rekod lampau jenayah.

“Kesemua suspek telah direman selama tujuh hari bermula 21 Disember 2020 sehingga 27 Disember 2020 untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B ADB  dan Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ayob Khan turut berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah yang berlaku di sekeliling mereka.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button