Berita Utama

Sentiasa utama produk keluaran muslim, jauhi syubhah

Naikkan ekonomi muslim dalam sektor penternakan, makanan

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 7 Jamadilawal 1442H, Selasa – Umat Islam diseru untuk istiqamah dalam mencari produk harian keluaran muslim seperti yang sering dianjurkan oleh Kempen Buy Muslim First (BMF) atau Beli Produk Muslim. 

Naib Pengerusi Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (PEMBELA), Mohd Nor Izzat Johari berkata, isu penipuan label halal pada daging sejuk beku import yang didedahkan media tempatan, baru-baru ini menjadikan ia suatu peringatan buat umat Islam agar berhati-hati dalam memilih produk di pasaran.  

“Utamakan daging atau produk dari jenama yang dijual oleh orang Islam yang kita ketahui asal-usulnya. 

“Sekurang-kurangnya kita tahu lembu disembelih, bersih dan sekali gus menaikkan ekonomi muslim dalam sektor penternakan dan makanan. Usahakan untuk jauhi produk-produk yang syubhah,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, tohmahan bahawa daging lembu yang dijual muslim mahal adalah tidak benar, sebaliknya ia dijamin segar dan halal. 

“Kecuali, ada segelintir yang mahu daging sejuk beku yang kononnya murah tetapi diragui halalnya. Sanggupkah kita makan daging haram?,” soalnya.

Sementara itu, mengulas kes tipu logo halal pada daging sejuk beku, Mohd Nor Izzat berkata, mana-mana pegawai atau penguat kuasa yang terbabit dalam kegiatan itu perlu dikenakan tindakan tatatertib.

“Sebenarnya mudah sahaja nak kesan penguat kuasa yang terlibat dengan ‘melepaskan’ daging palsu. Hanya semak penandatangan dokumen ketika daging cop halal palsu ini dilulus masuk ke Malaysia. Kita mahu semua pegawai ini dikenakan tindakan tatatertib.

“Saya difahamkan, kartel daging palsu ini sudah menjangkau 40 tahun. Bayangkan umat Islam di Malaysia makan daging sejuk beku yang diragui halalnya. Satu perkara yang tidak boleh dimaafkan.

“Alasan maklumat tidak tepat dan mengelirukan adalah alasan paling ‘kurang cerdik’ selaku pegawai yang menguruskan. Kita mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Unit Integriti masuk campur untuk menahan semua pegawai yang terlibat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button