Berita Utama

Tokoh ulama dunia Shaykh Abdallah beri pandangan perihal vaksin

Huraikan penggunaan vaksin secara tuntas menurut 4 mazhab

KUALA LUMPUR, 7 Jamadilawal 1442H, Selasa – Pandangan tokoh ulama dunia Shaykh Abdallah Shaykh Al-Mahfoudh Bayyah mengenai vaksin COVID-19 adalah antara kandungan utama majalah khas yang bakal diterbitkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri.

Zulkifli berkata Shaykh Abdallah yang juga Pengerusi Majlis Fatwa Emiriah Arab Bersatu menghuraikan penggunaan vaksin itu dalam kalangan umat Islam secara tuntas menurut empat mazhab.

“Insya-Allah, saya akan kemukakan dalam masa terdekat perkara itu,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan sumbangan barangan makanan anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Madrasah Raudhatul Muttaqin, Sentul di sini hari ini.

Sebelum ini, Zulkifli dilaporkan berkata beliau dalam proses mengeluarkan majalah khas untuk memberi penjelasan serta ulasan berhubung penggunaan vaksin dalam kalangan umat Islam sebagai usaha menangani permasalahan ummah dengan memberi kefahaman sebenarnya mengenai perkara itu.

Majalah setebal 40 muka surat itu akan diterbitkan dalam bentuk santai dan mudah difahami.

Malaysia sebelum ini dilaporkan telah memeterai perjanjian dengan fasiliti COVAX dan Pfizer untuk memperoleh vaksin COVID-19, dan hari ini Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan menandatangani perjanjian dengan syarikat farmaseutikal AstraZeneca juga untuk tujuan sama. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button