Berita Utama

UMNO keluar PN kerana nak kukuh ‘kuasa’

Status quo PN sebagai kerajaan masih kekal, kata penganalisis

Oleh Fazleen Safina

BANGI, 13 Zulhijjah 1441H, Isnin – UMNO hanya menyokong namun tidak mahu terbabit dalam Kabinet Perikatan Nasional (PN) mungkin sebab kuasa, kata penganalisis politik Dr Syed Agil Syed Alsagoff.

Beliau percaya, tindakan UMNO yang menarik diri dari PN adalah untuk memperkasakan gabungan Muafakat Nasional (MN) yang dimeterai bersama PAS.

“Pada masa sama, UMNO juga ada ‘intention’ (niat) untuk mengukuhkan kuasanya.

“UMNO terpaksa bekerjasama dengan PN yang diketua oleh Bersatu , yang mempunyai jumlah kerusi sedikit berbanding UMNO.

“Ia sedikit sebanyak menyebabkan UMNO mahu menumpukan kuasa mentadbir dengan perolehan 39 kerusi Parlimen sekarang ini di Parlimen,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan parti itu sudah membuat keputusan untuk tidak menyertai PN.

Sebaliknya, parti Melayu terbesar itu memilih untuk memperkasakan gagasan MN bersama dengan PAS dan kepimpinan dalam komponen Barisan Nasional (BN).

“Sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional hanya berlandaskan sokongan Ahli-ahli Parlimen UMNO dan BN serta ADUN-ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri dalam pembentukan kerajaan Pusat dan di beberapa negeri tertentu,” katanya.

Mengulas lanjut, Syed Agil berkata, status quo PN sebagai kerajaan masih kekal walaupun UMNO bertindak keluar dari gabungan parti berkenaan.

Bagaimanapun, beliau menyifatkan PN kini seolah-olah menjadi kerajaan campuran.

“Sebab apabila UMNO keluar PN, ia akan jadi parti dan blok berasingan. Tambahan pula, PN tidak didaftarkan. Kerajaan PN telah disokong oleh parti-parti daripada blok berbeza.

“Apabila UMNO tarik diri, UMNO anggap bahawa mana-mana Ahli Parlimen yang menganggotai Kabinet itu bukan mewakili UMNO.

“Sebaliknya, ia mewakili status Ahli Parlimen itu sendiri ataupun ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) dan sebagainya,” jelasnya.

Ketika ditanya sekiranya UMNO dilihat umpama berkuasa apabila menarik diri dari menganggotai PN, Syed Agil menafikan perkara itu, sebaliknya berkata bahawa, Kabinet diterajui Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berkuasa ketika ini.

Namun, katanya, perwakilan-perwakilan dalam Kabinet tidak melambangkan sepenuhnya datang daripada PN .

“Jadi, ahli UMNO terpaksa dianggap seperti mewakili YB-YB (Yang berhormat) daripada Dewan Rakyat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button