Dunia

Gugur perasuah, Jokowi umum rombakan Kabinet baharu

Portfolio terlibat dilihat penting bantu Indonesia ke arah pemulihan COVID-19

JAKARTA, 8 Jamadilawal 1442H, Rabu – Presiden Indonesia, Joko Widodo mengumumkan barisan anggota Kabinetnya yang baharu pada Selasa, sekali gus mengakhiri spekulasi sejak berbulan lalu. 

Barisan Kabinet baharu menyenaraikan Ketua Pasukan Petugas Ekonomi, Budi Gunadi Sadikin; Ketua Bandar Surabaya, Tri Rismaharini dan Sandiaga Salahuddin Uno – calon pencabar Presiden Prabowo Subianto pada tahun 2019. 

Sadikin akan menggantikan Terawan Agus Putranto sebagai Menteri Kesihatan setelah menerima kritikan masyarakat terhadap kegagalannya menangani COVID-19. 

Pada Selasa, Indonesia merekodkan lebih 670,000 kes COVID-19, antara yang tertinggi di Asia. 

Rismaharini pula menggantikan Juliari Batubara sebagai Menteri Urusan Sosial. Batubara ditangkap awal bulan ini kerana didakwa menerima rasuah sebanyak AS$1.2 juta (RM4.8 juta) daripada dua kontraktor yang ditugaskan mengagih bantuan kepada mangsa COVID-19.

Sementara, Uno dilantik sebagai Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif baharu menggantikan Wishnutama Kusubandio.

Duta Besar Indonesia di Amerika Syarikat (AS), Muhammad Lutfi akan mengambil alih jawatan Menteri Perdagangan yang disandang Agus Suparmanto. 

Yaqut Cholil Qoumas pula dilantik menjadi Menteri Hal Ehwal Agama yang baharu bagi menggantikan Fachrul Razi. 

Timbalan Menteri Pertahanan ketika ini, Sakti Wahyu Trenggono dilantik sebagai Menteri Perikanan menggantikan Edhy Prabowo – yang didakwa menerima AS$240,000 (RM975,000) dalam kes membabitkan udang galah import. 

Beberapa portfolio termasuk kesihatan, perdagangan dan pelancongan dilihat penting dalam memandu jalan menuju pemulihan COVID-19. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button