Berita Utama

Jakim minta semua pihak henti ulas isu kartel daging palsu

Pengusaha industri daging negara ada pengesahan halal yang sah berisiko terjejas

BANGI, 8 Rabiulawal 1442H, Rabu – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menasihatkan semua pihak supaya tidak memberi sebarang ulasan dan pandangan yang boleh menjejaskan kredibiliti kes membabitkan kartel daging import yang menggunakan logo halal palsu.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim, Datuk Abdul Aziz Jusoh menegaskan, kes itu masih dalam siasatan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). 

Beliau berkata, sebarang ulasan mengenai perkara tersebut secara tidak langsung boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.

Malah, ia juga boleh menjejaskan pengimport dan pengusaha industri daging negara yang telah mendapat pengesahan halal yang sah, katanya. 

“Sebarang komentar yang tidak disertakan dengan bukti yang kukuh, boleh menyebabkan timbulnya isu lain yang dikhuatiri menjejaskan kepercayaan terhadap pensijilan halal Malaysia di peringkat domestik dan antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, kerajaan telah menetapkan bahawa pengimportan daging dan produk daging hanya dibenarkan daripada abatoir atau loji pemprosesan yang diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (DVS) dan Jakim. 

Katanya, daging dan produk daging yang diimport masuk perlu pengesahan halal dari badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf oleh Jakim. 

Selain itu, pengimport juga perlu mengemukakan bersama sijil kesihatan daripada pihak berkuasa veterinar negara pengeksport dan kelulusan permit import dari Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) sebelum daging dan produk daging tersebut dibenarkan masuk ke pasaran negara ini.

“Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai isu penyeludupan daging dan penyalahgunaan kuasa hendaklah melaporkannya kepada pihak berkuasa yang berkaitan. 

“Sehubungan itu, dimohon semua pihak untuk menghormati proses tindakan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa dan semoga pihak yang bertanggungjawab dalam kes ini dapat dibawa ke muka pengadilan sewajarnya,” katanya.

Semalam, KPDNHEP menafikan kegiatan kartel daging halal palsu telah wujud di negara ini sejak 40 tahun lalu.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, laporan yang mengatakan kewujudan kartel itu sudah lama di negara ini menyebabkan rakyat takut dan telah diperbesarkan.

Dalam pada itu, beliau berkata, dalang utama kartel yang membungkus semula daging import dengan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia di sebuah gudang di Senai, Johor akan didedahkan dalam waktu terdekat.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button