Berita Utama

Kebun haram: Segera cantas kartel pengkhianat hingga ke akar umbi

Pentadbiran negara, negeri perlu berani tukar muka-muka baharu

BANGI, 8 Jamadilawal 1442H, Rabu – Kerosakan yang berlaku di dalam negara adalah apabila amanah diserahkan kepada pengkhianat, kata Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman.

Naib Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) itu menegaskan perkara tersebut sebagai merujuk isu pencerobohan tanah kerajaan di Raub, Pahang yang sudah berlaku sejak 40 tahun dahulu.

Beliau berkata, isu yang berlaku di negeri itu disifatkan daripada pengkhianat berkartel, di mana hanya dengan perubahan barisan pemimpin baharu sahaja ia boleh dipulihkan.

“Ibarat pokok yang dijalari parasit. Parasit tidak menumpang lagi. Malah pokok sudah mati, yang ada hanya parasit. Hukumnya tebang semua.

“Pentadbiran negara dan negeri perlu muka-muka baharu. Bukan sebarang baharu, malah berani.

“Mencantas kartel pengkhianat sehingga ke akar umbi, menuntut susuk pemimpin yang bersedia menyerahkan tengkuk sebagai galang ganti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuantan menolak permohonan 204 pekebun durian Musang King di Raub untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap notis arahan pengosongan tanah yang dikeluarkan kerajaan negeri.

Mahkamah memberikan dua alasan dalam menolak permohonan plaintif, iaitu pekebun terlibat tidak seharusnya membuat permohonan kebenaran semakan kehakiman kerana notis pengosongan yang dikeluarkan pentadbir tanah bukanlah satu keputusan atau tindakan yang boleh disemak di mahkamah.

Mahkamah juga mendapati pekebun terlibat adalah penceroboh, dan sebagai pihak yang menceroboh, mereka tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk memfailkan permohonan semakan kehakiman.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button