Berita Utama

Mutasi baharu A701V dikesan di Malaysia

Dikesan hasil ujian 60 sampel daripada kluster Benteng Lahad Datu

PUTRAJAYA, 8 Jamadilawal 1442H, Rabu – Kementerian Kesihatan mengesan mutasi baharu virus COVID-19 di Malaysia, yang dikenali sebagai A701V.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mutasi itu dikesan hasil ujian terhadap 60 sampel daripada kluster Benteng Lahad Datu.

“Ogos lalu, kita mengesan mutasi virus D614G di Kedah melalui kluster Sivagangga, selain ia turut dikesan di Johor dan di Sabah.

“Hasil ujian daripada 60 sampel daripada kluster Benteng Lahad Datu pula, kita mendapati terdapat juga mutasi A701V, yang turut pernah dikesan di Afrika Selatan, Australia dan Belanda,” katanya pada sidang media COVID-19, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) belum dapat menyimpulkan sama ada mutasi baharu itu memiliki tahap kebolehjangkitan yang tinggi atau bersifat ‘ganas’.

“Belum dapat dipastikan impak kesihatannya, sama ada mutasi A701V ini memiliki kebolehjangkitan yang tinggi atau bersifat ‘ganas’ seperti D614G,” katanya.

Bagi mengelakkan kebimbangan orang awam, Dr Noor Hisham menegaskan, virus COVID-19 akan sentiasa bermutasi.

Tetapi, apa yang perlu diberi tumpuan ialah sama ada mutasi baharu itu memiliki impak kesihatan yang lebih besar, berbanding varian sedia ada, katanya.

“Contohnya seperti mutasi D614G didapati memiliki 10 kali lebih jangkitan. Begitu juga varian baharu di United Kingdom (UK) dikenali sebagai VUI-202012/01, yang dikatakan 70 peratus lebih mudah berjangkit.

“Kementerian Kesihatan sedang memantau kesan mutasi baharu A701V ini, dari segi sama ada ia memiliki kesan pada keberkesanan vaksin, kadar kebolehjangkitan meningkat dan keganasan virus ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button