Berita Utama

Pekebun haram Musang King Raub lulus permohonan koperasi?

Akan mohon pengesahan kerajaan negeri untuk semua tanah pertanian tak berlesen

BANGI, 8 Jamadilawal 1442H, Rabu – Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dilapor meluluskan permohonan peladang durian Musang King mewujudkan koperasi, di tengah-tengah pertikaian pencerobohan tanah milik kerajaan di Raub, Pahang.

Menurut Facebook Save Musang King Alliance, mesyuarat keahlian pertama koperasi akan diadakan pada 29 Disember ini.

Ketua jawatankuasa koperasi mendakwa bahawa mesyuarat berkenaan akan diadakan di Dewan Kuan Yin, Sungai Ruan pada jam 2 petang.

“Pada masa ini, kami telah mengumpulkan lebih 400 ahli dan berharap semua dapat meluangkan masa untuk hadir,” katanya seperti dipetik East Coast China Press, semalam.

Katanya, keahlian itu adalah koperasi durian pertama di Raub, di mana ahlinya semua terdiri daripada semua cabang perniagaan dan rangkaian industri durian di daerah berkenaan serta Bentong.

“Penubuhan organisasi ini tidak hanya memperjuangkan hak dan kepentingan daripada kerajaan negeri, tetapi secara komprehensif memajukan peladang, memperluas industri eksport mereka dan meningkatkan peluang perniagaan,” katanya.

Katanya lagi, ahli koperasi juga akan memohon pengesahan daripada kerajaan negeri untuk semua tanah pertanian yang tidak berlesen, dan akan mempromosikan pembangunan pertanian di bawah rancangan koperasi berdasarkan empat prinsip.

Ia adalah perkongsian adil, perdagangan bebas, cukai tanah yang wajar dan pemulihan alam sekitar.

Menurutnya, 12 pengarah juga akan dipilih dalam mesyuarat pada 29 Disember, dan yuran keahlian sebanyak RM100 akan dikenakan untuk saham koperasi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button