Berita Utama

Kerajaan tak laksana pilihan raya PBT

Masyarakat dan PBT belum bersedia, kata Zuraida

KUALA LUMPUR, 16 Zulhijjah 1441H, Khamis – Kerajaan Perikatan Nasional memutuskan untuk tidak melaksanakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT), kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin. 

Katanya, keputusan itu dibuat kerana masyarakat dan PBT belum bersedia untuk melaksanakannya.

“Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak akan melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan, yang saya juga lihat ia satu perkara drastik.

“Masyarakat dan PBT kita tak bersedia,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hasan Arifin (BN-Rompin) yang bertanyakan sama ada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersedia untuk menjemput komuniti atau persatuan tertentu menghadiri mesyuarat PBT sebagai pemerhati dalam usaha untuk menyemarakkan lagi sistem demokrasi.

Sebelum ini, Zuraida menjelaskan pihak kementerian masih dalam penyediaan kertas Kabinet dan membentuk dua jawatankuasa berkaitan pilihan raya itu.

Zuraida turut menetapkan sasaran untuk membentangkan usul pilihan raya kerajaan tempatan dalam sidang Parlimen pada pertengahan tahun 2021.

Bagaimanapun, cadangan itu ditentang ramai pihak malah turut pernah ditolak oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir ketika memimpin kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Penganalisis politik juga yakin pilihan raya kerajaan tempatan hanya akan melemahkan fungsi dan kuasa kerajaan negeri sekiranya diadakan di negara ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button