PN akan ‘dihukum’ jika mutasi baharu COVID-19 UK masuk ke Malaysia
Kembalikan tempoh kuarantin wajib 14 hari bagi pelawat asing
BANGI, 8 Jamadilawal 1442H, Rabu – Perikatan Nasional (PN) akan dipersalahkan dan dihukum jika mutasi baharu COVID-19 – VUI-202012/01 – di United Kingdom (UK) merebak masuk ke Malaysia.
Justeru, kerajaan tidak boleh hanya memantau rapi keadaan sahaja, sebaliknya perlu lakukan sesuatu supaya rakyat berasa selamat, kata bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Beliau berkata, saranan itu sudah tiga kali disuarakannya kepada kerajaan PN sejak UK mengumumkan perintah berkurung paling ketat akibat mutasi baharu pada Ahad lalu.
“Setelah berita mutasi baru ini diumumkan pada hari Ahad, banyak negara telah umumkan larangan ke atas pelawat dari United Kingdom.
“Antaranya ialah Singapura, Hong Kong, India, Kanada, Switzerland, Sweden, Turki, Arab Saudi, Iran, Perancis, Jerman, Ireland, Itali, Austria, Romania, Belanda dan Belgium,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun, kata Najib, kerajaan di Malaysia hanya mengambil pendirian untuk memantau rapi situasi di UK.
Lebih membimbangkan, katanya, apabila kerajaan melonggarkan tempoh kuarantin bagi semua pelawat asing dari 14 hari ke tujuh hari sahaja, biarpun pernah memberitahu bahawa tujuh peratus kes COVID-19 hanya dikesan pada hari ke-13 kuarantin.
Malah, katanya, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah memberi amaran pengurangan tempoh kuarantin wajib 14 hari akan memberi impak besar kepada penularan wabak.
“Jika Malaysia tidak mahu sekat pelawat UK seperti negara-negara lain, sekurang-kurangnya naikkan semula tempoh kuarantin wajib bagi semua pelawat dari UK dan Eropah kepada 14 hari.
“Jangan cuma pantau rapi keadaan sahaja sebab kerajaan PN akan disalahkan dan dihukum jika mutasi baru ini merebak ke Malaysia,” katanya.