Berita UtamaIstimewa

Kebun haram: Penceroboh harus didakwa ikut kanun keseksaan

Minta tanggung kerugian cukai kerajaan Pahang lebih 40 tahun

BANGI, 9 Jamadilawal 1442H, Khamis – Keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan semalam menolak permohonan semakan kehakiman 204 pekebun durian Musang King besar maknanya kepada rakyat Pahang.

Ia juga menandakan permulaan baik bagi kes tersebut yang kini memasuki fasa menghadapkan penceroboh terbabit ke muka pengadilan.

Sehubungan itu, Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya mendesak, supaya pekebun haram di Raub dihukum di bawah Seksyen 441 Kanun Keseksaan (Pencerobohan Jenayah) kerana menceroboh harta milik kerajaan.

“Dan Seksyen 425 Kanun Tanah Negara kerana menduduki tanah secara haram di tanah kerajaan yang membolehkan mereka didenda hingga ratusan ribu dan penjara selama bertahun lamanya.

“Tidak cukup dengan itu, kita menuntut agar semua penceroboh ini membayar segala kerugian yang ditanggung oleh kerajaan negeri yang sepatutnya menerima hasil cukai selama lebih 40 tahun yang mencecah jutaan ringgit.

“Ini duit rakyat yang sepatutnya dibelanjakan untuk kesejahteraan semua, termasuk pendidikan, kesihatan, membantu orang susah dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) juga akan mengusahakan pelbagai cara agar ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat siri-siri pencerobohan tanah lain di seluruh negeri Pahang supaya keadilan dapat ditegakkan.

Jelasnya, langkah itu perlu bagi memastikan kekayaan negeri yang dikaut dapat dikembalikan dan akhirnya tidak memperkayakan individu tertentu secara tidak adil.

“Kita harap kerajaan-kerajaan negeri lain dapat mengambil semangat dan roh perjuangan rakyat di Pahang ini untuk bertindak atas hujah-hujah dan asas-asas yang sama kerana rakyat mahukan perkara ini diusahakan segera,” katanya.

Semalam, mahkamah memberikan dua alasan dalam menolak permohonan plaintif, iaitu pekebun tidak seharusnya membuat permohonan kebenaran semakan kehakiman kerana notis pengosongan yang dikeluarkan pentadbir tanah, bukanlah satu keputusan atau tindakan yang boleh disemak di mahkamah.

Selain itu, mahkamah juga mendapati pekebun ialah penceroboh di tanah berkenaan, justeru Sebagai pihak yang menceroboh, mereka tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk memfailkan permohonan semakan kehakiman.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button