Dunia

Gaza ‘terasing’! Rangkaian komunikasi, internet kini terputus

Bimbang jenayah perang Israel lebih besar bila dunia tak tahu kejadian sebenar

GAZA, 13 Rabiulakhir 1445H, Sabtu – Rangkaian komunikasi, internet dan telefon terputus di Gaza apabila Israel mengisytiharkan memasuki ‘fasa baharu’ dalam serangannya ke atas wilayah terkepung itu.

Wartawan di lapangan tidak lagi dapat berinteraksi dengan bilik berita dan dibimbangi Israel akan menggunakan keadaan itu untuk melakukan jenayah perang lebih besar terhadap penduduk, apabila kejadian sebenar tidak lagi dapat dimaklumkan kepada dunia termasuk bantuan antarabangsa.

Ini bermakna, rakyat Palestin di Gaza tidak lagi boleh memanggil ambulans atau pasukan pertahanan awam untuk membantu dalam operasi menyelamat selepas Israel menyasarkan kawasan kejiranan mereka.

Laporan dari kawasan itu juga mendedahkan, gegaran lebih kuat dari dalam tanah dirasai sejauh berbatu-batu, di mana penganalisis percaya Israel menggunakan bom baharu untuk menembusi terowong pejuang Hamas.

Israel mendakwa, terowong demikian wujud di bawah Hospital Shifa, talian hayat penting bagi rakyat Palestin di utara Gaza, di mana kira-kira 5,000 kem pelarian dalaman (IDP) berlindung.

Dalam video yang dikeluarkan di saluran media sosialnya, Israel menunjukkan bagaimana Hamas membina sebuah bandar di bawah tanah tapak hospital, namun tidak memberikan bukti terhadap dakwaannya.

Atas sebab itu, penganalisis percaya Israel merancang untuk menyasarkan Hospital Al-Shifa selepas memberitahu pentadbirannya untuk mengosongkan premis itu awal minggu ini.

Setakat ini, lebih 7,300 rakyat Palestin syahid dalam serangan tanpa henti Israel ke atas Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober lalu.

Keadaan itu menyebabkan 2.3 juta penduduk Gaza bergelut dengan kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan akibat pengeboman besar-besaran Israel dan sekatan secara total ke atas wilayah itu. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button