Berita Utama

204 penceroboh tanah Raub mesti bayar ganti rugi hasil cukai

PEMBELA pastikan RCI ditubuhkan siasat siri pencerobohan di Pahang

BANGI, 9 Jamadilawal 1442H, Khamis – Walaupun keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan semalam memihak kepada kerajaan negeri Pahang, Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) tetap mahu tiga tuntutannya terhadap penceroboh dipenuhi.

Ini termasuk menuntut 204 pekebun durian haram di Raub membayar ganti rugi yang ditanggung kerajaan negeri.

Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya berkata, selama lebih 40 tahun diteroka secara haram, kerajaan negeri sepatutnya menerima hasil cukai yang mencecah jutaan ringgit.

“Ini duit rakyat yang sepatutnya dibelanjakan untuk kesejahteraan semua, termasuk pendidikan, kesihatan, membantu orang susah dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau turut mendesak semua penceroboh terbabit dihukum mengikut Seksyen 441 Kanun Keseksaan (Pencerobohan Jenayah) kerana menceroboh harta milik dan Seksyen 425 Kanun Tanah Negara kerana menduduki tanah secara haram di tanah kerajaan.

“Kita juga akan mengusahakan pelbagai cara agar ditubuhkan suatu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat siri-siri pencerobohan tanah lain di seluruh negeri Pahang, di setiap daerah bagi tujuan sama agar keadilan dapat ditegakkan, kekayaan negeri yang dikaut dapat dikembalikan.

“Jangan terlalu gembira dan berpuas hati kerana kemenangan semalam hanyalah berkenaan notis pengosongan tanah yang dicabar oleh penceroboh melalui semakan kehakiman.

“Malah, mereka masih lagi melawan melalui proses rayuan nanti,” katanya.

Semalam, mahkamah memberikan dua alasan dalam menolak permohonan plaintif, iaitu pekebun tidak seharusnya membuat permohonan kebenaran semakan kehakiman kerana notis pengosongan yang dikeluarkan pentadbir tanah, bukanlah satu keputusan atau tindakan yang boleh disemak di mahkamah.

Selain itu, mahkamah juga mendapati pekebun ialah penceroboh di tanah berkenaan, justeru sebagai pihak yang menceroboh, mereka tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk memfailkan permohonan semakan kehakiman.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button