Berita Utama

Bidas Jakim isu kartel daging, musuh Islam memerhati kita

'Kita sama-sama bantu agama dan negara ke arah yang lebih baik'

BANGI, 9 Jamadilawal 1442H, Khamis – Umat Islam diminta menunggu pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut berhubung isu kartel daging import dan bukannya saling berbalah.

Golongan muslim diingatkan bahawa perbuatan menyalahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dalam isu berkenaan sentiasa diperhatikan musuh Islam.

Sehubungan itu, Pensyarah Fiqh Fatwa Makanan dan Kepenggunaan Semasa, Pusat Kajian Syariah, Fakulti Pengajian Islam (FPI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim meminta umat Islam bersatu membantu agama dan negara ke arah yang lebih baik.

“Musuh Islam sedang perhati perbalahan kita umat Islam.

“Kita sama-sama bantu agama dan negara ke arah yang lebih baik. Salah tetap salah.

“Kita serah kepada pihak berwajib buat siasatan lanjut,” katanya menerusi catatan ringkas di Facebook, hari ini.

Terdahulu, Jakim menasihatkan semua pihak supaya tidak memberi sebarang ulasan dan pandangan yang boleh menjejaskan kredibiliti kes membabitkan kartel daging import yang menggunakan logo halal palsu.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim, Datuk Abdul Aziz Jusoh menegaskan, kes itu masih dalam siasatan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Beliau berkata, sebarang ulasan mengenai perkara tersebut secara tidak langsung boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.

Malah, ia juga boleh menjejaskan pengimport dan pengusaha industri daging negara yang telah mendapat pengesahan halal yang sah, katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button