Berita Utama

Dron kesan 55 pencerobohan sempadan negara sejak Jun

Pertingkatkan aset untuk kawal sempadan negara dalam Op Benteng

KUALA LUMPUR, 9 Jamadilawal 1442H, Khamis – Teknologi dron berjaya mengesan sebanyak 55 pencerobohan sempadan negara sejak ia digunakan dalam Op Benteng pada Jun, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, pengesanan tersebut juga membawa kepada tangkapan bagi kes pencerobohan negara yang membuktikan keberkesanan penggunaan teknologi pesawat tanpa pemandu itu.

“Penggunaan teknologi dron adalah sangat penting kerana negara perlu menjaga sempadan yang luas contohnya di kawasan perairan Sabah.

“Sebab itu kita menggunakan teknologi dron di kawasan sempadan Malaysia termasuk di kawasan darat,” katanya pada sidang media harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat di Wisma Pertahanan di sini hari ini.

Ismail Sabri juga berkata, kerajaan telah memperoleh beberapa aset termasuk motosikal jenis scrambler, ATV (kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan muka bumi), radar dan dron untuk digunakan ketika Op Benteng, terutama di utara tanah air.

Beliau berkata perolehan itu dibuat menerusi peruntukan khas di bawah Majlis Keselamatan Negara bagi memperkukuhkan kawalan sempadan negara.

“Kerajaan akan terus mempertingkatkan aset bagi mengawal sempadan negara dalam Op Benteng,” katanya.

Bernama sebelum ini melaporkan Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata operasi pemantauan dan kawalan di sempadan negara dapat dilaksana dengan lebih berkesan melalui penggunaan aset dron secara lebih meluas. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button