Dunia

Bukti jenayah Israel di Gaza dikemuka ke ICC

Lebih 600 peguam fail aduan, pertahan hak penduduk Palestin

PARIS, 13 Rejab 1445H, Khamis – Bukti perbuatan jahat tentera Israel terhadap pembunuhan beramai-ramai di Semenanjung Gaza akan dikemukakan pasukan peguam kepada Pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), Karim A Khan KC di The Hague pada Khamis.

Tindakan perundangan untuk mendakwa Israel kerana perang berterusannya terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza dimulakan pada 9 November lalu.

Diketuai peguam Perancis, Gilles Devers, pasukan undang-undang yang terdiri daripada kumpulan hak asasi manusia dan lebih 600 peguam seluruh dunia bertujuan untuk mempertahankan hak orang awam Palestin di mahkamah.

Langkah kehakiman itu dianggap sebagai tindakan tambahan kepada kes yang difailkan Afrika Selatan atas pertuduhan melanggar Konvensyen Genosid 1948, yang dibicarakan awal bulan ini di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Sebagai meneruskan prosedur aduan dan mengukuhkan pendekatan penyiasatan mahkamah, kumpulan peguam akan mengemukakan bukti pembunuhan beramai-ramai yang menyokong penyesuaian undang-undang kepada pejabat pendakwa.

Pasukan peguam akan mengadakan dua pertemuan dengan Pejabat Pendakwa Raya dan Bahagian Mangsa Mahkamah Jenayah Antarabangsa pada Khamis.

Selepas mesyuarat, pasukan terbabit mengadakan sidang akhbar untuk memaklumkan kepada media antarabangsa mengenai perkembangan kes serta keputusan kedua-dua mesyuarat berkenaan.

Saman setebal 56 muka surat tiba di pejabat pendakwa pada November lalu menuntut siasatan dibuka ke atas insiden yang dikaitkan dengan tentera Israel di Gaza sejak 7 Oktober, apabila serangan mengorbankan lebih 25,000 mangsa setakat ini.

Teks tuntutan mahkamah turut meliputi rangkaian kes sejak konflik bermula daripada Mandat British 1920 untuk Palestin, Deklarasi Balfour 1917 sehingga Perjanjian Oslo 1993 dan Operasi Taufan Al-Aqsa pada Oktober lalu.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button