Berita Utama

Pahang tak bertindak semborono usir penceroboh tanah

Pekebun haram tiada hak tentang usaha kerajaan kerana jelas menceroboh

KUANTAN, 9 Jamadilawal 1442H, Khamis – Kerajaan Pahang tidak bertindak secara semborono dalam mengeluarkan notis pengusiran terhadap pekebun haram durian Musang King di Raub.

Sebaliknya, notis berkenaan dikeluarkan bagi memastikan semua tanah milik kerajaan negeri yang diteroka secara haram termasuk aktiviti pertanian, perumahah atau sektor perindustrian diambil kembali.

Ini bagi memacu kegemilangan negeri itu, khususnya daripada sudut ekonomi dan kelestarian alam sekitar.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, ketegasan kerajaan negeri wajar diteruskan di Raub dan seluruh negeri itu kelak.

Beliau memberi contoh isu sama mengenai penerokaan tanah Lembah Bertam dan Sungai Ichat di Cameron Highlands sebelum ini.

Tegasnya lagi, pekebun durian Musang King di Raub tiada hak menentang usaha kerajaan negeri disebabkan mereka secara terang-terangaan menceroboh tanah milik kerajaan negeri.

“Tanah itu merupakan hak kerajaan negeri dan menjadi tanggungjawab kerajaan negeri untuk mengambil tindakan.

“Ia juga menjadi hak kerajaan negeri untuk mencari penyelesaian terbaik berhubung isu pencerobohan tanah di Raub.

“Semoga isu berkenaan menjadi pengajaran kepada semua pihak supaya tidak sewenang-wenangnya menceroboh tanah kerajaan secara haram,” katanya seperti dilapor Harian Metro hari ini.

Semalam. Mahkamah Tinggi di sini, menolak permohonan 204 pekebun durian Musang King di sekitar Raub untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap notis arahan pengosongan tanah yang dikeluarkan kerajaan negeri Pahang.

Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz membuat keputusan itu dalam prosiding dengan hanya pihak berkenaan dibenarkan masuk ke dalam mahkamah, difahamkan atas faktor penjarakan sosial.

Susulan keputusan itu, Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri bersyukur di atas keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan 204 pekebun durian Musang King di sekitar Raub untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap notis arahan pengosongan tanah yang dikeluarkan kerajaan negeri.

Justeru, beliau berkata, operasi penguatkuasaan pengosongan tanah ditanam pokok durian Musang King akan dilaksanakan pada bila-bila masa.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button