Berita Utama

Rakyat Kelantan perlu buat persiapan hadapi gelombang ke-3 banjir

Perlu peka dengan segala maklumat, laporan dikeluarkan

KOTA BHARU, 9 Jamadilawal 1442H, Khamis – Menteri Besar Datuk Ahmad Yaakob mengingatkan penduduk di Kelantan agar membuat persiapan awal bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya gelombang ketiga banjir di negeri itu.

Beliau berkata orang ramai perlu peka dengan segala maklumat atau laporan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dari semasa ke semasa berkenaan ramalan cuaca.

“Laporan MetMalaysia dikeluarkan adalah supaya kita berikhtiar dan kita minta rakyat bersedia hadapi apa-apa kemungkinan (banjir) lebih awal,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Kembara Prihatin Negara Peringkat Negeri Kelantan di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff dan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Datuk Mumtaz Md Nawi.

Situasi banjir yang melanda Kelantan sejak awal Disember bertambah baik dengan jumlah mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) kian menurun.

Berdasarkan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat 12 tengah hari ini sebanyak 220 individu daripada 101 keluarga masih berada di tiga PPS di Pasir Mas, berbanding 307 mangsa daripada 123 keluarga pada 8 pagi tadi.

Sementara itu, Ahmad berkata lebih 80,000 penduduk terjejas susulan pandemik COVID-19 bakal disantuni serta menerima bantuan kewangan dan bekalan makanan harian di bawah Program Kembara Prihatin Negara Peringkat Negeri Kelantan.

“Kembara ini melibatkan 10 jajahan di negeri ini. Mereka yang akan disantuni terdiri daripada golongan terjejas daripada segi pendapatan dan sebagainya,” katanya.

Program Kembara Prihatin Negara akan bergerak secara mingguan dengan meliputi 108 daerah di seluruh negara, bagi menyantuni rakyat yang terkesan melalui perkhidmatan aduan pelanggan, bakul makanan, kes kebajikan dan perkhidmatan agensi KPWKM antaranya Ziarah Prihatin, Pembangunan Keluarga, Pemerkasaan Wanita serta Kajian Kapasiti. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button