Strain baharu COVID-19 UK mudah jangkiti kanak-kanak
Varian cepat jadi dominan di selatan Britain, tak lama lagi di seluruh negara

LONDON, 9 Jamadilawal 1442H, Khamis – Sekumpulan saintis memberi amaran bahawa strain baharu COVID-19 yang merebak lebih cepat di United Kingdom (UK) mudah menjangkiti kanak-kanak.
Menerusi taklimat kepada pemberita semalam mengenai penemuan terbaharu itu, para penyelidik dari Kumpulan Penasihat Ancaman Virus Sistem Pernafasan (NERVTAG), yang memantau varian tersebut mengingatkan bahawa ia dengan cepat menjadi dominan di selatan Britain dan tidak lama lagi melakukan perkara yang sama di seluruh negara.
Pengerusi NERVTAG dan pakar penyakit berjangkit Universiti Oxford, Peter Horby berkata, pihaknya yakin varian baharu yang ditemukan itu mempunyai kadar jangkitan lebih tinggi berbanding varian virus sedia ada di UK.
Anggota NERVTAG dan pakar epidemilogi penyakit berjangkit di Kolej Imperial London, Neil Ferguson berkata, terdapat petunjuk bahawa kanak-kanak lebih mudah dijangkiti varian baharu itu.
“Kami belum menemukan sebarang sebab tetapi kami dapat melihatnya dalam data.
“Kami perlu mengumpulkan lebih banyak data untuk melihat bagaimana corak penularan varian tersebut,” katanya.
Kemunculan varian SARS-CoV-2 bermutasi, yang menurut para saintis hingga 70 peratus lebih mudah merebak daripada strain sebelumnya di UK, telah mendorong beberapa negara untuk menutup sempadan mereka dengan Britain.
Perkembangan terbaharu itu juga mendorong sebahagian besar kawasan di negara itu dikenakan sekatan tegas sepanjang tempoh Krismas.
Seorang lagi anggota NERVTAG, Wendy Barclay yang merupakan pakar virologi berkata, antara mutasi varian baharu tersebut termasuk cara ia memasuki sel dalam badan manusia.
Ini bermakna golongan kanak-kanak tidak terkecuali untuk dijangkiti sama seperti orang dewasa.
“Oleh itu, kita jangkakan lebih banyak kanak-kanak akan dijangkiti,” katanya. – Agensi