Berita Utama

Varian COVID-19: Rakyat Malaysia dari UK dibenar pulang?

Kenapa tempoh kuarantin mereka dari UK dipendek kepada 10 hari?

BANGI, 9 Jamadilawal 1442H, Khamis – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempersoalkan kaedah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membendung penularan varian baharu virus COVID-19 dari United Kingdom (UK).

Antara yang dibangkitkan Ahli Parlimen Pekan itu termasuk kemasukkan rakyat Malaysia yang pulang dari UK serta tempoh kuarantin yang dikurangkan daripada 14 hari kepada 10 hari.

“KKM beri update semalam tentang penularan mutasi COVID-19 di UK yang dikatakan merebak 70 peratus lebih laju dan lebih mudah untuk jangkit kanak-kanak.

“Warga UK tidak dibenarkan masuk ke Malaysia tapi warga Malaysia di UK dibenarkan pulang – walaupun lebih 40 negara telah hentikan sebarang kemasukan individu dari UK sejak hari Ahad.

“Warga Malaysia yang pulang dari UK akan dipantau. Tempoh kuarantin bagi mereka yang pulang dari UK tetap dipendekkan ke 10 hari berbanding 14 hari sebelum ini – walaupun beberapa negara lain telah naikkan tempoh kuarantin bagi semua yang datang dari UK,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Katanya, alasan kenapa tempoh kuarantin dipendekkan daripada 14 hari ke 10 hari ialah ‘kebanyakan’ mereka yang dijangkiti akan menunjukkan gejala pada minggu yang pertama – walaupun sebelum ini KKM kata tujuh peratus kes hanya dikesan pada hari ke-13.

“Warga 23 daripada 195 negara dalam dunia masih disekat untuk masuk ke Malaysia – maka tidak benar bahawa sempadan Malaysia masih ditutup,” katanya.

Britain sebelum ini melaporkan varian baharu COVID-19 dengan Perdana Menteri, Boris Johnson menyatakan ia mempunyai kadar jangkitan 70 peratus lebih tinggi.

Jenis varian ini adalah di luar kawalan sehingga memaksa negara menguatkuasakan sekatan tegas bagi sambutan Krismas nanti bagi mengekang penularannya.

Beberapa negara yang semakin meningkat kes jangkitan dilaporkan bertindak balas dengan menguatkuasakan sekatan perjalanan dari Britain bagi mengelakkan varian baharu itu tersebar merentasi sempadan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button