Berita Utama

Tiga maut terhidu gas dalam loji kumbahan di Pantai Dalam

Dua daripada enam mangsa berjaya selamatkan diri

KUALA LUMPUR, 10 Jamadilawal 1442H, Jumaat – Tiga lelaki maut selepas terhidu gas ketika melakukan kerja-kerja pembersihan sebuah loji kumbahan di Jalan Pantai Permai 1, Pantai Dalam, di sini hari ini.

Mereka yang terdiri daripada dua warga tempatan dan seorang Bangladesh itu adalah pekerja kontraktor pembersihan.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur dalam kenyataan memaklumkan kejadian dilapor pada jam 2.41 petang, membabitkkan enam lelaki yang merupakan pekerja pembersihan mengalami masalah pernafasan akibat terhidu gas dalam loji kumbahan itu.

“Dua daripada mereka berjaya menyelamatkan diri sebelum bomba tiba, manakala empat lagi mangsa masih berada di dalam tangki loji itu,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyatakan anggota Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) bomba turut melakukan kerja-kerja bacaan udara dan pengudaraan di lokasi, bagi memastikan kualiti udara dalam keadaan selamat.

“Seorang mangsa berjaya diselamatkan dan dihantar ke hospital,” jelas kenyataan itu.

Kenyataan itu memberitahu tiga lelaki yang maut dikeluarkan daripada loji itu oleh anggota Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dan pasukan Hazmat melakukan proses dekontaminasi sebelum diserah kepada polis untuk tindakan lanjut. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button