Berita UtamaDunia

Usaha normalisasi hubungan Maghribi, Israel bermula pada 2018

Raja Mohammed VI main peranan utama sokong proses khianat Palestin

RABAT, 10 Jamadilawal 1442H, Jumaat – Menteri Luar, Nasser Bourita mendedahkan perbincangan normalisasi dengan Israel bermula pada 2018 yang mana pemain utama dalam menyokong proses itu adalah Raja Maghribi, Mohammed VI.

Dalam temu bual bersama saluran berita Israel, i24 News, beliau berkata, raja mempercayai prosesnya dan memastikan ia stabil dalam cara baginda rasa selesa.

“Setelah melakukan banyak kerja, hasilnya positif dan memenuhi harapan dan sesuai dengan visi raja.

“Sejak 2018, ada banyak kontak, sesuai dengan arahan Yang Mulia. Yang Mulia berbicara dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) dan mengirim wakil ke negara itu, tidak hanya bertemu dengan pegawai AS bahkan dengan Israel,” katanya.

Dalam pada itu, Bourita menegaskan bahawa hubungan dengan Israel tidak bertentangan dengan sokongan Maghribi untuk perjuangan Palestin, sambil memuji pengiktirafan AS terhadap kedaulatan Maghribi ke atas Sahara Barat, dan sokongan Washington terhadap kedudukan Rabat dalam isu ini.

“Membela perjuangan Palestin tidak bertentangan dengan menormalkan hubungan dengan Israel.

“Maghribi telah membuktikan peranan yang cekap dalam isu ini menerusi sejarah, dan ini bukan kali pertama Maghribi mengumumkan hubungan (dengan Israel), kerana negara ini selalu menggunakan hubungan itu untuk menjalin kerjasama dan kedamaian di rantau ini,” katanya.

Maghribi menjadi negara Arab keempat tahun ini yang menormalkan hubungan dengan Israel apabila Presiden Donald Trump memenuhi hasrat Maghribi selama puluhan tahun dengan menyokong kedaulatannya yang dipertikaikan di Sahara Barat.

Sebelum Maghribi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Sudan sudah menandatangani perjanjian tajaan AS bagi memulihkan hubungan dengan Israel – tindakan yang dianggap sebagai pengkhianatan terhadap rakyat Palestin..

Selain itu, Mesir dan Jordan sudah menandatangani perjanjian damai dengan rejim berkenaan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button