Berita UtamaDunia

Israel jangan sekat bantuan ke Gaza: Raja Jordan

Rakyat Palestin trauma, perlu gencatan senjata berterusan

AMMAN, 17 Jamadilawal 1445H, Jumaat – Raja Jordan, Raja Abdullah menggesa pegawai bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan antarabangsa meningkatkan tekanan ke atas Israel untuk membenarkan lebih banyak bantuan masuk ke kawasan Gaza yang terkepung.

Raja Abdullah memberitahu perkara itu ketika mesyuarat tergempar bersama pegawai PBB, ketua pertubuhan bukan kerajaan Barat dan wakil penderma Arab di Amman, bahawa Israel tidak boleh menyekat aliran bantuan ke Gaza.

“Raja menggesa komuniti bantuan antarabangsa untuk melakukan yang terbaik dan menyelamatkan rakyat Gaza yang mengalami perang kejam yang telah menjadikan tanah mereka tempat yang tidak boleh didiami,” kata seorang perwakilan.

Gencatan senjata sementara antara Israel dan Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) membolehkan lebih banyak bantuan masuk ke wilayah berpenduduk padat dengan 2.3 juta orang dalam tempoh enam hari lalu.

Bagaimanapun penghantaran bantuan termasuk makanan, air, bekalan perubatan dan bahan api kekal jauh di bawah apa yang diperlukan, kata pekerja bantuan.

Menurut Presiden Doktor Tanpa Sempadan (MSF), Christos Christou, rakyat Gaza memerlukan gencatan senjata yang berterusan ketika ini.

Katanya, ia adalah satu-satunya cara untuk menghentikan pembunuhan sewenang-wenangnya dan kecederaan orang awam serta membenarkan penghantaran bantuan kemanusiaan yang amat diperlukan pada skala yang bermakna.

“Kita sudah menyaksikan krisis kemanusiaan yang besar dan ia akan menjadi lebih teruk jika serangan ganas itu diteruskan,” katanya kepada pemberita di Amman.

Dengan Israel enggan membenarkan sebarang bantuan masuk melalui sempadannya, bekalan telah diterbangkan dan dihantar ke Semenanjung Sinai Mesir untuk dihantar ke Gaza melalui pintu sempadan Rafah.

Israel telah mengebom Gaza sebagai tindak balas kepada serangan 7 Oktober ke selatan Israel oleh Hamas.

Setakat ini, lebih 15,000 syahid dalam serangan Israel, kira-kira 40 peratus daripadanya kanak-kanak, dengan ramai lagi dikhuatiri mati dan hilang di bawah runtuhan.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button