Berita Utama

Banjir di Kelantan semakin pulih, hanya 122 mangsa di 3 PPS

Ini berbanding 307 orang daripada 123 keluarga dilaporkan semalam

KOTA BHARU, 10 Jamadilawal 1442H, Jumaat – Banjir di Kelantan semakin pulih dengan jumlah mangsa berkurangan kepada 122 orang daripada 39 keluarga pagi ini, berbanding 307 orang daripada 123 keluarga semalam.

Berdasarkan aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat 9 pagi, tiga pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi di Pasir Mas melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh yang menempatkan jumlah mangsa tertinggi seramai 44 individu, SK Bakong (43) dan SK Kedai Tanjong (35).

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang Imran Ismail berkata paras air Sungai Golok di Rantau Panjang mencatat bacaan melepasi tahap amaran setinggi 8.42 meter (m) (amaran 8 m).

“Paras air sungai berkenaan menunjukkan trend penurunan berbanding semalam yang merekodkan tahap bahaya 9.55 m (bahaya 9 m) memandangkan tiada hujan lebat sejak dua hari lepas dan jika ada pun, hanya sesekali hujan renyai,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata sekiranya keadaan itu berterusan, lebih ramai mangsa yang masih berada di PPS akan dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

Katanya sehingga kini, tiada laluan utama ditutup kepada pengguna jalan raya.

Dalam pada itu, mengikut laporan infobanjir.water.gov.my, Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat merekodkan bacaan melepasi paras amaran setinggi 2.48 m (amaran 2.15 m). – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button