Dianggap beban, rakyat Turki mahu pelarian Syria pulang ke tanah air
Lebih 3.6 juta warga Syria lari ke Turki akibat perang saudara pada 2011

ANKARA, 10 Jamadilawal 1442H, Jumaat – 86 peratus responden menginginkan empat juta pelarian Syria yang tinggal di Turki untuk pulang ke tanah air mereka.
Universiti Bilgi di Istanbul dengan kerjasama German Marshall Fund di Amerika Syarikat (AS) melakukan tinjauan itu yang bertajuk Dimensi Polarisasi di Turki 2020.
Tinjauan itu juga dilakukan di 29 bandar melalui sampel 4,000 orang dewasa di Turki.
Sebelum ini, lebih daripada 3.6 juta warga Syria melarikan diri ke Turki akibat perang saudara di negara itu pada 2011.
Pelarian Syria di Turki menjadi sasaran kepada beberapa serangan dan pembunuhan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Rakyat Turki menganggap kehadiran pelarian Syria mencari tempat perlindungan di Turki sebagai beban hidup mereka serta satu persaingan tidak adil di dalam sektor ekonomi.
Hal ini kerana perniagaan orang Syria tidak berdaftar dan tidak rasmi, selain ribuan syarikat pimpinan rakyat Syria dilancarkan setiap tahun sekali gus menimbulkan kebimbangan besar.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Human Rights Watch (HRW), Kenneth Roth berkata, meskipun Turki mengalu-alukan kehadiran jutaan pelarian Syria, namun statistik semasa menunjukkan penerimaan sosial penduduk tempatan terhadap pelarian itu semakin menurun.
Tahun lalu, pemerintah Turki meluluskan pengusiran 1,000 warga Syria dalam tempoh seminggu dari Istanbul ke wilayah Idlib, Syria yang turut mencetuskan perbalahan. -Agensi