Berita UtamaDunia

Gaza dalam krisis, ekonomi rugi RM6.09 bilion tahun ini

Akibat sekatan berterusan Israel serta penularan COVID-19

BAITULMAQDIS, 10 Jamadilawal 1442H, Jumaat – Sektor ekonomi Gaza mengalami kerugian AS$1.5 bilion (RM6.09 bilion) tahun ini, kata Ketua Jawatankuasa Nasional Gaza untuk Pemecahan Pengepungan.

Ahli politik Palestin, Jamal Al-Khudari dalam satu kenyataan semalam menegaskan bahawa tahun ini adalah paling berbahaya disebabkan sekatan Israel yang berterusan, ditambah pula dengan penularan wabak COVID-19.

Sejak Jun 2007, Israel menyekat laluan darat, udara dan laut dengan ketat ke atas penduduk Gaza, bahkan menghalang akses mereka yang memerlukan rawatan perubatan.

Melalui pengepungan ini, Israel telah mengurangkan kemasukan barangan, sementara aktiviti perniagaan dan eksport telah dihentikan kecuali dalam kes-kes tertentu.

Selain itu, kadar kemiskinan meningkat bermula 40 peratus pada 2007 kepada 56 peratus pada 2017, sekali gus menjadikan lebih daripada sejuta penduduk Palestin hidup tanpa punca pendapatan.

Sementara itu, Jamal berkata, hampir 70 peratus keluarga di Gaza diancam kekurangan makanan, sementara 85 peratus lagi hidup di bawah garis kemiskinan kesan daripada sekatan Israel dan penularan COVID-19.

Malah, kadar pengangguran di Semenanjung Gaza yang diduduki telah meningkat hingga 60 peratus, yang turut memberi kesan lebih 350,000 pekerja secara langsung dan tidak langsung akibat daripada penutupan beberapa kilang, syarikat dan bengkel yang terpaksa memberhentikan ribuan pekerja.

Pada masa sama, Jamal menggesa masyarakat antarabangsa untuk menegakkan undang-undang dan menyelamatkan Gaza. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button