Berita Utama

Harga barang naik, pengguna dinasihat buat aduan ke KPDNHEP

'Orang ramai seharusnya mengunakan kuasa pembeli dengan berbelanja secara bijak'

MELAKA, 10 Jamadilawal 1442H, Jumaat – Pengguna di negeri ini disarankan supaya menyalurkan aduan secara rasmi kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, jika terdapat sebarang kenaikan harga barangan secara drastik terutama ketika musim perayaan.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Ismail Othman berkata segelintir pengguna dilihat lebih gemar ‘membawang’ atau membuat keluhan di laman sosial seperti Facebook sebagai contohnya harga bawang yang melambung di pasaran sejak kebelakangan ini.

Beliau berkata bagaimanapun harga barangan import dari India tersebut melonjak disebabkan kekurangan bekalan bawang di pasaran tempatan berikutan banjir yang melanda negara itu.

“Disebabkan hal ini, orang ramai seharusnya mengunakan kuasa pembeli dengan berbelanja secara bijak dan berhemah serta dinasihatkan untuk beralih membeli bawang merah dan bawang besar yang diimport dari negara lain.

“Namun jika beli barangan lain dan didapati ada peniaga yang menjual melebihi harga kawalan yang telah ditetapkan maka orang ramai sepatutnya membuat aduan terus ke pihak kami bagi membolehkan KPDNHEP melakukan pemantauan dan semakan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri tinjauan mesra sempena Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas di sebuah pusat beli-belah di Peringgit di sini.

Ismail berkata jika didapati peniaga tidak mematuhi undang-undang ditetapkan, pengguna boleh menyalurkan aduan menerusi talian am KPDNHEP Melaka 06-2345822, portal [email protected], pusat panggilan 1800-886-800, e-mel [email protected] atau menggunakan aplikasi Ez ADU.

Dalam pada itu, beliau berkata di negeri ini tiada sebarang aduan diterima mengenai daging sejuk beku yang diimport dan diseludup secara tidak sah setakat ini. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button