Berita Utama

Kartel daging: Jakim perlu kaji laksana proses audit bebas

'Proses pengauditan halal bebas dilaksanakan oleh pihak profesional bebas yang tidak terikat dengan kepentingan syarikat'

BANGI, 10 Jamadilawal 1442H, Jumaat – Sudah tiba masa pihak berkuasa khususnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melihat kepada keperluan untuk melaksanakan proses pengauditan halal bebas.

Perkara ini bagi menambah baik pengurusan jaminan halal sedia ada di Malaysia.

Felo Siswazah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Muhammad Iqmal Hisham Kamaruddin berkata, proses pengauditan halal bebas boleh dilaksanakan oleh firma pengauditan halal bertauliah, iaitu yang menerima pentauliahan daripada Jakim yang dilantik oleh ahli lembaga pengarah syarikat.

Muhammad Iqmal berkata, pengauditan halal bebas juga boleh dimanfaatkan oleh pihak Jakim untuk menjalankan proses berkenaan bagi mengatasi kekangan tenaga kerja.

Jelasnya, perkara itu sudah pasti akan meningkatkan lagi kepatuhan pihak pengeluar dan penjual terhadap jaminan halal bagi produk dan perkhidmatan yang disediakan.

“Proses pengauditan halal bebas akan memberi nilai tambah, terutama terhadap keyakinan masyarakat terhadap sesuatu barangan dan perkhidmatan halal.

“Proses pengauditan halal bebas dilaksanakan oleh pihak profesional bebas yang tidak terikat dengan kepentingan syarikat.

“Pada masa sama, ia juga membantu mengurangkan kelemahan penguatkuasaan pihak berkuasa untuk memantau proses penyediaan barangan dan perkhidmatan halal secara berkala,” katanya menulis di Berita Harian, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Iqmal berkata, sebelum ini terdapat beberapa kes penyalahgunaan logo halal oleh sebahagian daripada pengeluar barangan dan perkhidmatan.

Beliau berkata, penyalahgunaan itu dilakukan semata-mata mendapatkan keyakinan daripada pengguna muslim.

Beliau memberi contoh isu produk berasaskan mi dan bihun yang menggunakan logo halal palsu serta status halal bagi produk laksa, di mana pensijilan halal hanya diperoleh bagi dapur pusat premis dan bukan seluruh rangkaian premis.

Tidak terkecuali, katanya, terdapat isu sebuah kilang memproses makanan masih menggunakan logo halal, meskipun perakuan halalnya sudah pun ditarik balik.

Jelasnya, terdapat isu was-was dalam kalangan masyarakat mengenai status halal sesetengah barangan dan perkhidmatan, meskipun produk berkenaan mempunyai pengesahan halal yang dikeluarkan Jakim.

“Contohnya, status halal ayam yang dijual oleh pasar raya besar di Malaysia yang dipertikaikan status halal berdasarkan keraguan dalam kaedah penyembelihan, selain status halal coklat berjenama walaupun sudah disahkan halal oleh pihak Jakim.

“Terdapat juga isu penyebaran maklumat tidak tepat mengenai status halal bagi sesetengah barangan dan perkhidmatan dengan tujuan memboikot produk berkenaan.

“Contohnya, kesalahan fakta atau usaha mensabotaj produk keluaran muslim, tetapi dikatakan haram. Dalam hal ini, wujud rungutan dalam kalangan pengusaha Bumiputera yang mendapat sijil halal Jakim tetapi dikatakan tidak halal,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, kelemahan penguatkuasaan pengurusan barangan dan perkhidmatan halal oleh pasar raya besar menjadi punca lambakan produk diimport tidak halal ataupun mempunyai logo halal yang tidak diiktiraf Jakim.

Katanya, produk sebegini banyak dijual bersama produk lain yang turut tertera logo halal Jakim.

Jelasnya, kelemahan pengurusan ini juga menyaksikan sejumlah besar penarikan semula sijil halal disebabkan oleh ketidakpatuhan pengeluar barangan dan perkhidmatan terhadap Manual Prosedur Pensjilan Halal Malaysia, terutama dari aspek kebersihan.

“Contohnya kes yang berlaku ke atas sebuah premis pemprosesan ayam dan kes premis pemprosesan makanan laut.

“Berdasarkan permasalahan ini, kelemahan dari sudut ketidakcekapan pengoperasian membabitkan kedua-dua pihak iaitu pengeluar barangan dan perkhidmatan dan juga penguasa iaitu Jakim,” katanya.

Muhammad Iqmal berkata, antara masalah dihadapi pengeluar adalah disebabkan kurang kefahaman mengenai prosedur halal, dokumen tidak lengkap, pemalsuan yuran pensijilan dan ketidakfahaman mengenai maklumat yang perlu dihantar kepada Jakim.

Manakala katanya, permasalahan dihadapi Jakim pula termasuk kekurangan tenaga kerja yang memberi kesan terhadap kelewatan proses pensijilan dan pengauditan halal, pemeriksaan premis yang memerlukan lebih daripada satu hari dan kelewatan dalam menerima keputusan ujian makmal.

“Ketika ini, pengurusan jaminan halal cuma membabitkan proses pengauditan pensijilan halal dilakukan Jakim bagi permohonan pensijilan halal dan proses pengauditan halal dalaman yang dilakukan dua kali setahun menurut Halal Assurance Management System (HAMS) oleh eksekutif halal dan dikawal selia Jawatankuasa Halal Dalaman Syarikat,” jelasnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button