Berita Utama

Kebun haram: Jangan biar seinci tanah jatuh ke tangan petualang!

Jangan dilepas pandang penceroboh, pengkhianat usah dijulang

BANGI, 10 Jamadilawal 1442H, Jumaat – Isu pencerobohan tanah kerajaan negeri Pahang yang dijadikan ladang durian haram di Raub mengingatkan semua pihak bahawa undang-undang mesti ditegak dan dilaksanakan.

Tidak menyebut mana-mana pihak, Naib Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Ustaz Masrizi Sat merakamkan ucapan terima kasih kepada mereka yang bersama-sama PEMBELA memperjuangkan isu berkenaan.

“Kita sanggup berkorban apa yang ada, kerana tak sanggup melihat walau seinci pun tanah air ini dijajah semula oleh musuh durjana dan pengkhianat yang pandai bermuka-muka.

“Anda semua pejuang yang tidak didendang tetapi kemunculan anda semua menjadikan bumi Pahang dan negara ini terus berkumandang dengan laungan suara lantang; bebaskan tanah air ini dari petualang, tegak dan laksanakan undang-undang, hapuskan penceroboh tanah di dalam negara dan di negeri Pahang.

“Bela hak rakyat peribumi yang miskin dan berjasa, jangan dilepas pandang penceroboh dan pengkhianat jangan pula dijulang,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau bagaimanapun berharap agar pihak berkenaan untuk tidak jemu kerana perjuangan masih panjang.

“Terus kuat, istiqamah dan ikhlas berjuang. Semoga segala amalan dan jihad kita Allah SWT pandang,” katanya.

Rabu lepas, Mahkamah Tinggi Kuantan menolak permohonan 204 pekebun durian Musang King di sekitar Raub untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap notis arahan pengosongan tanah yang dikeluarkan kerajaan negeri Pahang.

Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz membuat keputusan itu dalam prosiding dengan hanya pihak terbabit dibenarkan masuk ke dalam mahkamah, difahamkan atas faktor penjarakan sosial dan peguam Siew Choon Jern yang mewakili semua plaintif memaklumkan keputusan tersebut kepada media selepas prosiding tamat.

Choon Jern berkata, mahkamah memberikan dua alasan menolak permohonan plaintif, iaitu pekebun terbabit tidak seharusnya membuat permohonan kebenaran semakan kehakiman kerana notis pengosongan dikeluarkan pentadbir tanah bukanlah satu keputusan atau tindakan yang boleh disemak di mahkamah.

Mahkamah juga mendapati pekebun terlibat adalah penceroboh di tanah berkenaan, justeru sebagai pihak yang menceroboh, mereka tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk memfailkan permohonan semakan kehakiman.

Serentak keputusan mahkamah itu, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, operasi penguatkuasaan pengosongan tanah ditanam pokok durian Musang King akan dilaksanakan pada bila-bila masa.

Katanya, kerajaan negeri juga mengesahkan tiada lagi tempoh masa diberikan kepada semua pekebun terbabit yang meneroka tanah itu secara haram.

Namun sehingga kini menjadi tanda tanya sama ada kerajaan negeri akan menuntut ganti rugi serta mendakwa penceroboh berkenaan kerana menduduki tanah secara haram di tanah kerajaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button