Berita UtamaIstimewa

Sistem politik negara rosak? Wakil rakyat sokong penceroboh?

‘Boleh jadi beliau berani bela penceroboh kerana tak akan tergugat jika bela pesalah’

BANGI, 10 Jamadilawal 1442H, Jumaat – Sistem politik negara telah rosak berikutan pemimpin tidak lagi berpihak kepada kebenaran, sebaliknya hanya menuruti nafsu manusia semata-mata, kata Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya.

Beliau membangkitkan perkara itu apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tras, Chow Yu Hui menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan yang menolak semakan kehakiman difailkan 204 pekebun durian Raub, Pahang sebagai mengecewakan.

“Hak masuk (ke tanah kebun) tidak diberikan, kami semua rasa hampa,” kata Yu Hui.

Namun, ADUN DAP itu berkata, usaha mereka untuk tidak akan terhenti hari ini, bahkan pihaknya akan membuat rayuan.

Aminuddin menegaskan bahawa seorang wakil rakyat tidak seharusnya berpihak kepada mereka yang melanggar undang-undang, apatah lagi dilakukan secara terang-terangan.

Kata beliau, hal ini kerana wakil rakyat adalah pembuat dasar dan penggubal undang-undang di negara ini.

Katanya, jika wakil rakyat itu sendiri membela pihak yang melanggar undang-undang, menceroboh hak milik kerajaan serta menjarah hasil hingga mengakibatkan rakyat tidak dapat menikmati hasil cukai selayaknya, maka perkara itu adalah suatu kebobrokan integriti dan moral.

“Beliau adalah salah seorang ADUN di dalam Parlimen Raub, di mana pengundi peribumi hanyalah 25 peratus.

“Boleh jadi keberanian beliau membela penceroboh-penceroboh tersebut adalah kerana beliau tidak akan tergugat pun jika membela pesalah.

“Malah, ianya mungkin atau pasti akan menaikkan lagi populariti beliau sekali gus menguatkan kedudukan politiknya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, Aminuddin menegaskan, pihaknya tidak gentar akan perkara itu kerana percaya jawatan disandang wakil rakyat hanya sementara dan tidak terlalu kebal.

Tambahnya, jawatan berkenaan boleh dijatuhkan pada bila-bila masa dan tidak semestinya melalui pilihan raya.

“Allah itu maha berkuasa dan saya yakin akan kekuasaan-Nya itu, kita akan terus berjuang dengan pelbagai strategi agar tanah-tanah yang diceroboh dapat dikembalikan.

“Bukan itu sahaja, mereka yang bersalah akan dihadapkan ke muka pengadilan dan dihukum.

“Kita hapuskan segala budaya-budaya kartel dan rasuah yang membarah dari sekecil-kecil pegawai penguat kuasa, sehebat-hebat politikus dan sebesar-besar taikun gergasi,” tegasnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button