Berita Utama

Jakim perkukuh penguatkuasaan, SOP sijil halal barangan import

Bagi memastikan umat Islam dapat bekalan makanan ikut hukum syarak

KOTA BHARU, 11 Jamadilawal 1442H, Sabtu – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan memperkukuhkan lagi penguatkuasaan serta prosedur operasi standard (SOP) dalam memberi kelulusan sijil halal membabitkan barangan import termasuk daging.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berkata, ini bagi memastikan setiap rakyat terutamanya umat Islam mendapat bekalan makanan yang halal, bersih serta mengikut hukum syarak.

“Pihak kerajaan termasuk Jakim akan terus memperkukuhkan lagi SOP termasuk kawal selia dan sekiranya perlu menambah kakitangan (Jakim), maka kita akan buat pengambilan staf juga,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Berkhatan Peringkat Pengkalan Chepa di Dewan Pusat Asuhan Tunas Islam di Pengkalan Chepa dekat sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan taktik jahat kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari luar negara sebelum membungkus semula daging berkenaan dengan menggunakan logo halal dan menjualnya di pasaran seluruh Malaysia.

Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk berkata, pihaknya juga akan meningkatkan lagi kolaborasi dengan pelbagai agensi terlibat seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi menyelesaikan isu berkenaan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button