Berita Utama

Agong jalani kuarantin kendiri tujuh hari

Seri Paduka buat ujian saringan COVID-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Abu Dhabi

BANGI, 11 Jamadilawal 1442H, Sabtu – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pagi tadi.

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook Istana Negara, pesawat khas yang membawa Seri Paduka Baginda dan delegasi selamat mendarat pada jam 11 pagi.

“Sejurus keberangkatan tiba, Al-Sultan Abdullah menjalani ujian saringan COVID-19 di Kompleks Bunga Raya, KLIA mengikut ketetapan prosedur operasi standard oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“Selepas menjalani ujian saringan COVID-19, Seri Paduka Baginda turut berkenan memakai gelang kuarantin dan akan menjalani kuarantin kendiri selama tujuh hari.

“Terdahulu, Seri Paduka turut menjalani ujian saringan COVID-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Abu Dhabi sebelum berangkat ke tanah air,” katanya.

Katanya lagi, anggota delegasi Seri Paduka akan menjalani kuarantin diri di lokasi yang telah ditetapkan oleh KKM.

Lawatan khas selama lima hari Seri Paduka ke Abu Dhabi yang berakhir semalam adalah atas jemputan Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button