Berita Utama

Kartel daging: Komen positif netizen bantu urus tadbir halal negara

Agensi kerajaan lebih bergerak pantas, pengusaha lebih berhati-hati dan pengguna lebih cakna

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 11 Jamadilawal 1442H, Sabtu – Teguran dan komen netizen berhubung isu daging import dari negara sumber tidak sah, termasuk diragui status halal dan kualitinya akan membuatkan pengusaha industri berkenaan lebih berhati-hati.

Bukan itu sahaja, pengawal selia juga akan mengambil tindakan yang lebih pantas, kata Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS), Ustaz Bilal Jailani.

Beliau berkata, dalam tadbir urus halal – halal governance – terdapat tiga pihak yang terlibat iaitu pengawal selia, industri dan pengguna.

Katanya, ketiga-tiga pihak ini akan membentuk ‘halal governance’ yang menyeluruh.

“Dalam konteks agensi kerajaan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memberi saranan yang betul apabila meminta semua pihak supaya menghentikan komentar tanpa fakta dan bukti kukuh, kerana dikhuatiri akan menjejaskan pengusaha industri daging yang mempunyai pengesahan halal yang sah.

“Dalam masa yang sama, komen membina dan ulasan berfakta dari netizen adalah bagus kerana akan membuatkan agensi kerajaan lebih bergerak pantas, pengusaha lebih berhati-hati dan pengguna lebih cakna,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menerangkan prosedur mengimport daging ke negara ini.

Pada awalnya, syarikat yang berdaftar di Malaysia akan memohon permit import daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).

Kemudian DVS bersama pihak Jakim akan memeriksa rumah sembelihan di luar negara yang menghasilkan produk daging itu.

“Jakim akan memantau hal berkaitan syariah, sementara DVS memantau isu teknikal seperti keselamatan kebersihan serta lain-lain. Apabila semua syarat dipenuhi, permit akan diberikan.

“Apabila produk import tiba di pintu masuk perdagangan negara, contohnya pelabuhan, ada beberapa agensi yang akan memeriksa daging import ini. Pihak Kastam memeriksa urusan cukai dan kecukupan dokumen, termasuklah deklarasi barangan.

“Maqis (Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia) pula akan memeriksa daging import dari sudut food safety. Jika produk berkenaan disahkan selamat dan mematuhi syarat import, termasuklah memiliki dokumen berkaitan halal, maka akan diberi kebenaran masuk ke Malaysia,” katanya.

Sebelum ini, negara didedahkan dengan taktik jahat kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging berkenaan menggunakan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia dalam serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai.

Berita Harian melaporkan kartel mempunyai ‘orang dalam’ pada semua peringkat prosedur dan pemeriksaan di pintu masuk, menyebabkan mereka kebal sehingga mampu beroperasi sejak lebih 40 tahun lalu.

Kartel daging didakwa menubuhkan syarikat proksi di negara ini dan dinamakan dengan nama berunsur Islamik dan kemelayuan yang boleh meraih keyakinan pengguna Islam.

Difahamkan, modal perniagaan setiap syarikat terbabit antara RM200,000 hingga RM300,000.

Bagaimanapun, KPDNHEP menafikan kegiatan kartel daging halal palsu telah wujud di negara ini sejak 40 tahun lalu.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, laporan yang mengatakan kewujudan kartel itu sudah lama di negara ini menyebabkan rakyat takut dan telah diperbesarkan.

Katanya, dalang utama kartel yang membungkus semula daging import dengan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia di sebuah gudang di Senai, Johor akan didedahkan dalam waktu terdekat.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button