Tarbiyah

Kempen masuk syurga sekeluarga

Wanita belum berpasangan perlu jaga kehormatan seperti Saidatina Maryam

SURAH al-Tahrim menyediakan kepada kita satu panduan yang lengkap mengenai kempen ‘masuk syurga sekeluarga’. Kempen ini dimulakan dengan peringatan kepada suami agar sentiasa membimbing isteri dan ahli keluarga mereka agar sentiasa mematuhi perintah syarak.

2. Dalam permulaan surah ini Allah menegur Rasulullah ﷺ supaya tidak melakukan perkara yang bertentangan dengan syarak semata-mata ingin menjaga hati isteri.

3. Perbincangan ini disusuli dengan peringatan yang sangat tegas di mana Allah meminta kita memelihara diri dan keluarga kita dari neraka. Andai gagal, kita yang akan menjadi bahan bakar api neraka. Firman Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ

“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala)…”

4. Kemudian al-Quran menampilkan contoh isteri-isteri yang terpisah dari suami mereka. Mereka bukan sahaja tidak beriman malah mengkhianati dakwah suami mereka lalu Allah humban mereka ke neraka terpisah dari suami mereka di syurga. Firman Allah:

وَقِيلَ ادْخُلَا النَّارَ مَعَ الدَّاخِلِينَ

“Masuklah kamu berdua (isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Lut) ke dalam neraka bersama-sama orang-orang yang masuk (ke situ)”.

5. Setelah itu Allah bayangkan kepada kita, terdapat juga isteri yang dianugerahkan istana di syurga, namun suami mereka meringkuk ke neraka. Mereka adalah pasangan yang terpisah dek keimanan yang berbeza. Firman Allah:

وَضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا لِّلَّذِينَ آمَنُوا امْرَأَتَ فِرْعَوْنَ إِذْ قَالَتْ رَبِّ ابْنِ لِي عِندَكَ بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ وَنَجِّنِي مِن فِرْعَوْنَ وَعَمَلِهِ وَنَجِّنِي مِنَ الْقَوْمِ الظَّالِمِينَ

“Dan Allah mengemukakan satu misal perbandingan kepada orang-orang mukmin iaitu: perihal isteri Firaun, ketika ia berkata: “Wahai Tuhanku! Binalah untukku sebuah rumah di sisiMu dalam Syurga, dan selamatkanlah daku dari Firaun dan perbuatannya serta selamatkanlah daku dari kaum yang zalim.”

6. Akhirnya Allah tutup perbincangan ini dengan menjelaskan mengenai wanita yang tidak mempunyai pasangan. Wanita yang masih belum berpasangan ini hendaklah mereka menjaga kehormatan mereka seperti Saidatina Maryam yang akhirnya dikurniakan syurga oleh Allah.

Semoga Allah membimbing kita untuk ke syurga sekeluarga.

Dr Ahmad Sanusi Azmi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button