Berita UtamaDunia

Turki berulang kali kecam kekejaman Israel ke atas Palestin

'Tak mungkin kami terima dasar Palestin yang digubal Tel Aviv'

ANKARA, 11 Jamadilawal 1442H, Sabtu – Turki sekali lagi menegaskan tidak boleh menerima kekejaman negara haram Israel terhadap Palestin.

Ankara sebelum ini berulang kali mengecam penjajahan Israel di Tebing Barat serta perlakuan kejam ke atas rakyat Palestin.

Bercakap kepada pengamal media selepas solat Jumaat di Istanbul, Presiden Recep Tayyip Erdogan berkata bahawa Turki mempunyai masalah dengan pemimpin Israel.

Beliau berkata, hubungan dengan negara haram itu mungkin berbeza jika bukan kerana masalah berkenaan.

“Dasar Palestin adalah garis merah kami. Tidak mungkin kami menerima dasar Palestin yang digubal Israel.

“Perbuatan tanpa belas kasihan mereka (Israel) di sana (Palestin) tidak dapat diterima.

“Sekiranya tidak ada masalah itu, hubungan kami mungkin sangat berbeza dan kami ingin menjadikan hubungan kami ke tahap yang lebih baik,” jelasnya.

Turki dan Israel, pernah mengusir diplomat tertinggi satu sama lain pada 2018 disebabkan puluhan rakyat Palestin terbunuh ketika pertempuran dengan rejim Zionis di sempadan Gaza.

Bagaimanapun, Ankara dan Tel Aviv terus melakukan hubungan perniagaan antara satu sama lain.

Israel telah melakukan hubungan normalisasi dengan empat negara Islam tahun ini, manakala negara haram itu pada Rabu mengumumkan bahawa ia sedang berusaha melakukan perkara sama dengan negara Islam kelima yang berkemungkinan di Asia.

Sementara itu, Tunisia pada Selasa menegaskan bahawa ia tidak berniat untuk melakukan hubungan normalisasi dengan Israel.

Ankara telah membantah hubungan normalisasi Israel dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Sudan dan Maghribi.

Pada masa sama, Erdogan juga mengancam untuk menghentikan hubungan diplomatik dengan UAE.

Tindakan pemimpin Turki itu bertujuan mempertahankan perjuangan Palestin. -Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button