Berita Utama

150 kes sehari! Isu ibu hamil luar nikah semakin barah

Lebih 51,000 kes anak luar nikah dilahirkan setiap tahun

BANGI, 12 Jamadilawal 1442H, Ahad – Sekurang-kurangnya 51,000 hingga 56,000 kes anak luar nikah dilahirkan setiap tahun atau 150 kes sehari seperti didaftarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Naib Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin berkata, kelahiran anak luar nikah itu belum termasuk di kalangan individu yang menggugurkan kandungan mereka, yang dianggarkan sebanyak 90,000 hingga 100,000 kes setiap tahun menurut Persatuan Hak Kesihatan Wanita (RRAAM).

Dr Zainur Rashid berkata, beliau telah banyak mengendalikan kes ibu hamil luar nikah termasuk para remaja sejak 20 tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, situasi berkenaan tidak menjadi baik, malah semakin membarah.

“Ibu bapa, pendidik dan setiap daripada kita mesti memainkan peranan dengan sebaiknya.

“Namun saya dapati, tidak ada sebarang tindakan yang berkesan dan komprehensif daripada pihak atasan.

“Ingatlah, kita semua akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebanyak 532,158 kelahiran anak tidak sah taraf atau anak luar nikah didaftarkan dengan JPN daripada tahun 2005 hingga 2015.

Bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, data Polis Diraja Malaysia pula menunjukkan bagi tempoh yang sama, ada 526 kes pembuangan bayi.

“Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, bilangan kes kehamilan remaja belum berkahwin bagi 2012 hingga 2015 ialah 16,270.

“Berdasarkan Statistik Remaja Hamil Jabatan Kesihatan Negeri 2012 hingga 2015, tiga negeri dengan statistik tertinggi remaja berumur 10 hingga 19 tahun hamil ialah Sarawak (5,246 orang), Johor (2,427 orang) dan Selangor (1,603 orang),” katanya.

Terbaharu, mengikut statistik pendaftaran kelahiran, seramai 25,567 anak tidak sah taraf didaftarkan dengan JPN sejak 2019 sehingga Januari tahun ini termasuk bagi perkahwinan yang tidak mencukupi enam bulan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button