Berita Utama

ADUN Dengkil positif COVID-19

Akan dibawa ke hospital untuk rawatan, kuarantin hari ini

PUTRAJAYA, 12 Jamadilawal 1442H, Ahad – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Adhif Shan Abdullah disahkan positif COVID-19 petang semalam dan akan dibawa ke hospital untuk proses rawatan dan kuarantin hari ini.

Perkara itu disahkan beliau sendiri dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Adhif berkata beliau telah menjalani ujian saringan di hospital pada 25 Disember selepas mendapati pemandunya mengalami simptom demam sejak dua hari lepas.

“Pemandu bersama saya telah membuat ujian swab sebagai langkah berjaga-jaga pada 25 Disember sejurus selesai urusan kerja harian dan semalam (26 Dis) disahkan positif oleh pihak hospital,” katanya.

Adhif berkata beliau dan pemandunya ketika ini dalam keadaan stabil dan akan dibawa ke hospital hari ini (27 Dis) oleh Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menjalani kuarantin dan rawatan.

Beliau berkata KKM dan pihak berkuasa lain telah dimaklumkan dan semua kontak rapat telah dikesan dan disaring mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan.

Berikutan itu, beliau berkata Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Dengkil akan ditutup selama 14 hari untuk operasi nyah cemar dan sebagai langkah berjaga-jaga.

“Seluruh staf PKM saya turut akan menjalani kuarantin kendiri di rumah masing-masing selepas menjalani saringan,” katanya.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai sebarang urusan boleh menghubungi pejabatnya melalui emel [email protected]

Pada masa sama, katanya orang ramai yang mempunyai sebarang soalan berkaitan jangkitan COVID-19 boleh hubungi Pejabat Kesihatan Daerah Sepang. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button