Berita UtamaDunia

Bangladesh pindah kumpulan ke-2 Rohingya ke Bhashan Char

Kerajaan dakwa pemindahan pelarian dilakukan secara sukarela

DHAKA, 12 Jamadilawal 1442H, Ahad – Bangladesh akan memindahkan kumpulan kedua pelarian Rohingya dari negara jiran Myanmar ke pulau terpencil Bhasan Char di Teluk Bengal bulan ini – walaupun ada desakan oleh kumpulan hak asasi untuk tidak melakukan pemindahan lanjut.

Dua pegawai yang berpengetahuan langsung berhubung perkara itu berkata, kira-kira 1,000 pelarian Rohingya – etnik minoriti muslim yang melarikan diri dari Myanmar – akan ditempatkan ke pulau itu dalam beberapa hari akan datang selepas Bangladesh memindahkan lebih 1,600 orang awal bulan ini.

“Mereka akan dipindahkan ke Chittagong terlebih dahulu dan kemudian ke Bhasan Char, bergantung pada air pasang,” kata salah seorang pegawai yang enggan mendedahkan namanya memandangkan isu itu belum diumumkan.

Wakil pegawai kerajaan Bangladesh yang bertanggungjawab ke atas pelarian, Mohammed Shamsud Douza berkata, pemindahan semula itu dilakukan secara sukarela.

“Mereka tidak akan dihantar bertentangan dengan kemahuan mereka,” katanya.

Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, bahawa pihaknya tidak dibenarkan melakukan penilaian teknikal dan keselamatan di Bhasan Char – sebuah pulau yang sering dilanda banjir di Teluk Bengal – dan tidak terlibat dalam pemindahan pelarian ke sana.

Bangladesh berkata, hanya memindahkan mereka yang rela untuk berpindah dan langkah itu akan mengurangkan kesesakan kronik di kem yang menjadi tempat tinggal lebih daripada satu juta Rohingya.

Bagaimanapun para pelarian dan pekerja kemanusiaan berkata, sebahagian orang Rohingya telah dipaksa ke pulau itu.

Awal bulan ini, Menteri Luar Bangladesh, Abdul Momen berkata kepada Reuters bahawa PBB perlu terlebih dahulu menilai dan mengesahkan betapa kondusifnya persekitaran di negara Rakhine Myanmar untuk memulangkan pelarian, sebelum melakukan penilaian terhadap Bhasan Char.

Beberapa percubaan untuk memulakan pemulangan Rohingya ke Myanmar gagal selepas pelarian berkata, mereka terlalu takut akan keganasan untuk kembali. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button