Berita Utama

Daging, bahan mentah import Ramly Burger disah halal

Tidak babit orang tengah dalam urusan import

BANGI, 12 Jamadilawal 1442H, Ahad – Ramly Food Processing Sdn Bhd (RFPSB) mengesahkan tiada pembabitan orang tengah dalam urusan mengimport daging dan bahan mentah.

Pengarah Urusannya, Datuk Dr Ramly Mokni berkata, RFPSB hanya mengimport daging dan lain-lain bahan mentah terus daripada pengeluar dari luar negara dan dipantau sendiri oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) secara berkala dan disahkan halal.

“RFPSB adalah syarikat Bumiputera muslim yang dimiliki oleh sebuah keluarga dan kami amat menitikberatkan serta berhati-hati dalam isu ini sejak dulu,” katanya dalam satu kenyataan disiarkan di Facebook Ramly Halal Kiosk Malaysia, hari ini.

Ramly Halal Kiosk Malaysia adalah syarikat di bawah Kumpulan Ramly yang fokus kepada kiosk dan juga restoran makanan segera.

Difahamkan, kenyataan itu merujuk kenyataan media Jakim pada 23 Disember lalu berkenaan isu daging seludup.

Dalam pada itu, Ramly berkata, RFPSB menyambut baik saranan Jakim dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna supaya tiada mana-mana pihak mengulas isu itu selagi siasatan penuh belum selesai.

Terdahulu, Jakim menasihatkan semua pihak tidak memberi sebarang ulasan dan pandangan yang boleh menjejaskan kredibiliti kes penyiasatan daging seludup yang menjadi kontroversi ketika ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim, Datuk Abdul Aziz Jusoh, berkata kes yang hangat diperkatakan itu masih dalam siasatan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Katanya, sebarang kenyataan berhubung kes itu dikhuatiri secara tidak langsung boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button