Berita Utama

Dong Jiao Zong sekali lagi mahu tulisan Jawi diketepikan

Tak yakin manual kepelbagaian bahasa boleh hilang keraguan terhadap Jawi

BANGI, 12 Jamadilawal 1442H, Ahad – Tidak yakin cadangan manual kepelbagaian bahasa boleh menghilangkan keraguan semua pihak berhubung tulisan Jawi, Dong Jiao Zong menyarankan agar pengajaran dan pembelajaran tulisan yang sedia ada itu diketepikan.

Menerusi kenyataan bersama dalam hantaran di Facebook Dong Zong pada 21 Disember lalu, Dong Jiao Zong mendedahkan hasil soal selidik yang dibuat sebelum ini mendapati hampir semua ibu bapa pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) membantah modul ‘pengenalan Jawi’ Tahun 4.

Dedahnya, dari 1,298 buah SJKC, 98.23 peratus (1,275) membantah pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Jawi dan hanya 23 buah SJKC yang bersetuju.

“Sehubungan itu, kami berharap Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengetepikan langkah pelaksanaan yang kontroversi sebelum melaksanakan cadangan yang dinyatakan dan tidak menunggu sehingga selesai penerbitan buku teks dan sukatan pelajaran baru Tahun 4,5 dan 6, baru membuat semakan.

“Bagi mengelakkan konflik dalam pentadbiran sekolah apabila ia dilaksanakan akibat bantahan dari PIBG dan pengurangan hak membuat keputusan oleh lembaga SJKC.

“Demi menghormati Akta Pendidikan 1996 yang memberi hak pentadbiran kepada lembaga SJKC, pihak kerajaan patut melibatkan lembaga SJKC dalam pasukan pembuat keputusannya,” katanya.

Dong Jiao Zong berkata demikian dipercayai mengulas cadangan penggunaan ‘manual kepelbagaian bahasa’ oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mah Hang Soon untuk menghidupkan semula pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran bahasa Melayu Tahun 4 SJKC dan SJKT.

Hang Soon turut memperkenalkan tulisan dan bahasa peribumi Sabah dan Sarawak, sebagai semakan semula pembelajaran dan pengajaran Jawi yang dilanda kontroversi sebelum ini.

Dong Zong berpendapat, buku rujukan bantuan tidak dapat menghilangkan keraguan yang ada pada semua pihak, KPM sepatutnya mengetepikan langkah-langkah pelaksanaan yang dibayangi kontroversi – itu adalah perkara utama dalam semakan pengajaran dan pembelajaran Jawi.

“Cadangan Timbalan Menteri Pendidikan bersesuaian dengan pendirian Dong Jiao Zong dan pertubuhan Cina yang lain.

“…iaitu menggunakan buku teks mata pelajaran BM Tahun 5 dengan pelbagai kaedah penyampaian untuk memperkenalkan seni kaligrafi dari pelbagai etnik yang mencerminkan kepelbagaian kaum di Malaysia dan menggalakkan pertukaran budaya,” katanya.

Selain itu katanya, keraguan rakyat terhadap isu Jawi mencerminkan tahap kepercayaan mereka kepada kerajaan.

Justeru, untuk tidak mengulangi kesilapan dalam dasar yang lepas, Dong Jiao Zong berharap kerajaan dapat mengadakan perjumpaan dengan pertubuhan pendidikan Cina dan India serta menubuhkan jawatankuasa pengajaran dan pembelajaran kepelbagaian bahasa.

Jelasnya, tindakan itu agar semua pihak terlibat dan berkepentingan boleh melibatkan diri dalam proses membuat keputusan serta menyelia prosesnya secara langsung.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button