Berita Utama

Jangan leka! Pekebun haram sudah fail rayuan, mohon tangguh notis

Fail juga Sijil Perakuan Segera agar mahkamah percepat 2 permohonan

BANGI, 12 Jamadilawal 1442H, Ahad – Cekap dan bersiap siapa! Demikian gambaran berkenaan kumpulan pekebun haram di Raub yang didapati sudah memfailkan Notis Rayuan ke Mahkamah Rayuan, bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap notis pengosongan tanah dikeluarkan kerajaan Pahang.

Mendedahkan perkara itu, Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam, Haji Aminuddin Yahaya berkata, rayuan berkenaan dilakukan pada sebelah petang, selepas Mahkamah Tinggi Kuantan menolak permohonan 204 pekebun durian berkaitan perkara sama.

Pada masa sama, Aminuddin berkata, pekebun berkenaan turut memohon Penangguhan Pelaksanaan Hukuman kepada Mahkamah Rayuan, bagi menghalang sebarang tindakan untuk mengusir mereka dari tanah berkenaan sepanjang menunggu proses rayuan.

Malah, katanya, mereka juga telah memfailkan Sijil Perakuan Segera kepada mahkamah untuk menyegerakan kedua-dua permohonan berkenaan.

“Perkara ini tidak dilaporkan dan didedahkan oleh mana-mana media arus perdana, terutamanya bahasa Melayu.

“Sebenarnya apa yang dilakukan oleh mereka ini adalah satu usaha yang tidak mengaku kalah, kerana itulah kita jangan cepat puas hati dan leka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuantan pada 23 Disember lalu menolak permohonan 204 pekebun durian Musang King di sekitar Raub untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap notis arahan pengosongan tanah yang dikeluarkan kerajaan negeri Pahang.

Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz membuat keputusan itu dalam prosiding dengan hanya pihak terlibat dibenarkan masuk ke dalam mahkamah, difahamkan atas faktor penjarakan sosial dan peguam Siew Choon Jern yang mewakili semua plaintif memaklumkan keputusan tersebut kepada media selepas prosiding tamat.

Choon Jern berkata, mahkamah memberikan dua alasan dalam menolak permohonan plaintif, iaitu pekebun terlibat tidak seharusnya membuat permohonan kebenaran semakan kehakiman kerana notis pengosongan yang dikeluarkan pentadbir tanah bukanlah satu keputusan atau tindakan yang boleh disemak di mahkamah.

“Selain itu, mahkamah juga mendapati pekebun terlibat adalah penceroboh (di tanah berkenaan). Sebagai pihak yang menceroboh, mereka tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk memfailkan permohonan semakan kehakiman ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, pihaknya merayu supaya kerajaan negeri Pahang bertindak serta melawan proses rayuan dilakukan oleh penceroboh terbabit.

Katanya, langkah-langkah drastik mesti dimulakan kerajaan negeri termasuk mengambil tindakan undang-undang sewajarnya ke atas penceroboh berkenaan.

“… ini kerana cacing masih cuba berusaha naik ke mata.

“Kami badan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan Islam akan teguh memperjuangkan isu ini dan berharap agar kerajaan negeri bertindak, tidak mengaku kalah dan tidak lemah longlai.

“Kerana kami adalah gerakan rakyat, yang memobilisasikan rakyat untuk menyokong segala usaha ke arah keadilan. Sepatutnya kerajaan berasa kuat semangat,” tegasnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button