Berita Utama

Kerahsiaan? Kenapa susah sangat nak dedah petualang kartel daging

Jenayah ini terlalu berat, tak patut ada pihak terlepas

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 12 Jamadilawal 1442H, Ahad – Bagi mengelakkan rakyat rasa curiga dan sangsi, kerajaan disaran mendedahkan identiti petualang kartel yang mendalangi penyeludupan daging import dari negara sumber tidak sah, termasuk diragui status halal dan kualitinya serta jenama yang terbabit.

Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT) pelik apabila identiti pihak terbabit yang melakukan jenayah besar terhadap umat Islam itu disembunyikan, melainkan jika ia untuk kerahsiaan siasatan lebih mendalam.

Bagaimanapun Ketua Media MUAFAKAT, Haji Rashidi Haris berharap tidak ada penglibatan pegawai-pegawai kerajaan dalam isu ini.

Katanya, sejak tersebarnya isu berkenaan, umat Islam di Malaysia berasa resah kerana berkemungkinan telah menjadi mangsa pemakan daging haram ini, yang telahpun berada di pasaran sekian lama.

Namun lebih menghairankan katanya, apabila petualang kartel boleh dibiarkan beroperasi sejak lebih 40 tahun.

“Ini menimbulkan persoalan keintergritian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam mengeluarkan logo halal secara tidak langsung mencemar kewibawaan institusi tersebut.

“Kerajaan wajar menggerakkan siasatan bersepadu hingga ke akar umbi bagi membongkar isu ini dan mengenakan hukuman setimpal terhadap semua pihak yang terlibat.

“MUAFAKAT melihat jenayah ini terlalu berat dan tidak sepatutnya ada yang terlepas daripada tindakan hukuman,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, isu halal haram ini sangat sensitif di hati umat Islam terutamanya bagi orang Melayu apabila ia berkaitan dengan makan dan minum.

“Pendedahan aktiviti penyeludupan daging haram selama lebih 40 tahun oleh kartel daging sangat mengejutkan umat Islam.

“Justeru, dengan tegasnya MUAFAKAT mendesak kerajaan supaya bertindak segera terhadap kartel daging berkenaan dengan menarik balik semua daging haram yang telah terlepas dan tersebar ke dalam pasaran Malaysia.

“Kelewatan bertindak akan menyebabkan daging berkenaan sampai ke tangan umat Islam,” katanya.

Sebelum ini, negara didedahkan dengan taktik jahat kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging berkenaan menggunakan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia dalam serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai.

Berita Harian melaporkan kartel mempunyai ‘orang dalam’ pada semua peringkat prosedur dan pemeriksaan di pintu masuk, menyebabkan mereka kebal sehingga mampu beroperasi sejak lebih 40 tahun lalu.

Kartel daging didakwa menubuhkan syarikat proksi di negara ini dan dinamakan dengan nama berunsur Islamik dan kemelayuan yang boleh meraih keyakinan pengguna Islam.

Difahamkan, modal perniagaan setiap syarikat terbabit antara RM200,000 hingga RM300,000.

Bagaimanapun, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menafikan kegiatan kartel daging halal palsu telah wujud di negara ini sejak 40 tahun lalu.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, dalang utama kartel yang membungkus semula daging import dengan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia di sebuah gudang di Senai, Johor akan didedahkan dalam waktu terdekat.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button