Berita Utama

Rasuah tak salah? Masyarakat kini dikuasai nilai nihilisme

Budaya tersebut anggap rasuah sebagai hadiah, insentif, imbuhan

BANGI, 12 Jamadilawal 1442H, Ahad – Nilai masyarakat kini dihinggapi budaya nihilisme yang menganggap rasuah sebagai hadiah, insentif, imbuhan dan komisen.

Pengerusi Pusat Polisi dan Hal Ehwal Ekonomi Malaysia (PEACE), Jamizal Zainol mendakwa, mereka tidak dapat membezakan frasa berkenaan kerana menganggap semuanya sama dan tidak salah selagi tak ditangkap.

Maka, katanya, tidak hairan sekiranya masyarakat menganggap rasuah tidak salah.

“Apa yang penting mereka ‘diiktiraf’ sebagai berjaya. Inginkan pengiktirafan juga adalah penyakit masa kini.

“Ini belum berbicara perihal ahli politik yang perlu rasuah demi mendapatkan wang ringgit untuk membeli pengikut dan undi.

“Walhal sekali lagi, pembelian sokongan dan undi tidak semestinya berjaya membeli kesetiaan serta nilai persahabatan, “ katanya menulis di Berita Harian, hari ini.

Mengulas lanjut, Jamizal mendakwa terdapat individu yang sanggup menggadaikan kuasa demi mendapatkan rasuah dan wang ringgit.

Dakwanya, segelintir indvidu yang diamanahkan menjaga pintu sempadan negara mula culas hingga membahayakan keselamatan negara.

Malah, katanya, ada di antara mereka yang diamanahkan untuk memastikan produk diimport halal dan suci kepada umat Islam akhirnya culas, dengan membiarkan daging haram dimakan masyarakat.

“Semuanya menjadi subjektif…makanan tidak halal membuahkan pula budaya nihilisme yang percaya tidak ada kebenaran sejati.

“Kebenaran ialah apa kita fikirkan dan tanggapkan. Walhal agama datang bagi memberitahu manusia kebenaran itu ada.

Pada masa sama, beliau berkata, terdapat sesetengah individu yang sanggup menipu, malah menjadi ‘scammer’ rakan sendiri bagi mendapatkan wang ringgit untuk dibelanjakan demi kemewahan.

“Mereka sanggup menipu dan memperdayakan orang lain, janji ada kemewahan. Yang penting apa nampak di luaran, walaupun busuk di dalam.

“Penyakit ini mula menjangkiti mereka yang berkuasa untuk membuat keputusan. Mereka diamanahkan sebagai penguat kuasa, ketua tender dan pengerusi syarikat mula rambang mata.

“Gaji diterima dirasakan tidak cukup. Terdetik dalam hati mana mungkin anak muda ‘influencer’ boleh memiliki kenderaan mewah, sedangkan mereka tidak boleh,” jelasnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button