Dunia

Mohammad Shtayyeh letak jawatan PM Palestin

Kekal jadi pemangku hingga pengganti tetap baharu dilantik

RAMALLAH, 17 Syaaban 1445H, Selasa – Perdana Menteri Palestin, Mohammad Shtayyeh mengumumkan peletakan jawatannya pada Isnin, tatkala Pihak Berkuasa Palestin (PA) berusaha membina sokongan bagi memperluaskan peranannya ekoran perang Israel di Semenanjung Gaza.

Langkah itu dibuat di tengah-tengah tekanan Amerika Syarikat (AS) yang semakin meningkat terhadap Presiden Mahmoud Abbas untuk menggugat PA, ketika antarabangsa semakin giat menghentikan pertempuran di Gaza dan memulakan kerja pada struktur politik bagi mentadbir wilayah berkenaan selepas perang.

Peletakan jawatan Shtayyeh mesti diterima Abbas, yang mungkin memintanya untuk kekal sebagai pemangku sehingga pengganti tetap dilantik.

Dalam satu kenyataan kepada Kabinet, Shtayyeh berkata, pentadbiran seterusnya perlu mengambil kira realiti wujud di Gaza, yang musnah akibat hampir lima bulan pertempuran sengit.

Beliau berkata, peringkat seterusnya akan memerlukan pengaturan kerajaan dan politik baharu yang mengambil kira realiti di Semenanjung Gaza, rundingan perpaduan nasional dan keperluan mendesak untuk konsensus antara Palestin.

Di samping ia memerlukan lanjutan kuasa PA ke atas seluruh tanah Palestin.

Setakat ini, tiada pengganti dilantik, namun Abbas dijangka menamakan bekas pegawai Bank Dunia yang juga Pengerusi Dana Pelaburan Palestin (PIF), Mohammad Mustafa – yang berpengalaman membina semula Gaza selepas perang pada 2014.

PA menjalankan tadbir urus terhad ke atas bahagian Tebing Barat yang diduduki, tetapi kehilangan kuasa di Gaza berikutan kemenangan Hamas pada 2007.

Bahkan, kredibiliti PA juga dilihat semakin lemah sejak beberapa tahun lalu dan tinjauan menunjukkan pengaruhnya sudah tidak lagi popular dalam kalangan rakyat Palestin.

Namun, PA kekal sebagai satu-satunya badan kepimpinan yang umumnya diiktiraf masyarakat antarabangsa.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button