3 pengunjung Pasar Payang positif COVID-19
Saringan dilakukan kepada 126 peniaga adalah negatif

KUALA TERENGGANU, 13 Jamadilawal 1442H, Isnin – Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim memaklumkan, terdapat tiga kes positif COVID-19 melibatkan pengunjung Pasar Besar Kedai Payang, minggu lalu.
Namun, hasil tindakan pantas Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, keputusan saringan peniaga adalah negatif.
“Walau bagaimanapun, kes pengunjung yang didapati positif COVID-19 itu menunjukkan kita sentiasa terdedah dengan risiko jangkitan lebih-lebih lagi dengan bilangan pengunjung yang ramai yang pengamalan penjarakan fizikal susah dilaksanakan,” katanya dalam laman sosial Facebooknya, hari ini.
Justeru, beliau menasihatkan agar semua terus mengambil perhatian aspek keselamatan dan prosedur operasi standard (SOP).
“Para pengunjung perlu mendaftar MySejahtera, atau pada buku rekod kemasukan. Ini penting untuk tujuan contact tracing jika berlaku kes,” katanya.
Sementara itu, keputusan saringan bersasar kepada 126 peniaga di Pasar Payang mendapati tiada kes positif COVID-19, kata Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Nor Azimi Yunus
“Risiko jangkitan amat kurang jika semua peniaga dan pengunjung sentiasa mematuhi SOP ketika berurusan jual beli. Ini penting kerana kita tidak tahu status mereka di sekeliling.
”Mungkin mereka tiada gejala namun siapa tahu mereka mungkin pembawa virus bukan hanya di Pasar Payang tetapi di semua premis yang ramai pengunjung,” katanya.
Untuk rekod, sehingga Ahad, Terengganu merekodkan pertambahan satu kes sembuh dan lima kes baharu COVID-19 menjadikan jumlah 16 kes COVID-19 aktif sedang dirawat, menjadikan keseluruhan sebanyak 301 kes di Terengganu.