Berita Utama

8 ditahan ceroboh kawasan Hutan Simpan Panti

Boleh didenda tak lebih RM10,000 atau penjara tidak kurang 3 tahun

JOHOR BAHRU, 13 Jamadilawal 1442H, Isnin – Seramai lapan individu ditahan, kerana disyaki menceroboh masuk ke kawasan Air Terjun Sungai Pelepah Kiri, Hutan Simpan Panti dekat Kota Tinggi, semalam.

Menerusi kenyataan di laman rasmi Facebook Jabatan Perhutanan Negeri Johor (JPNJ), kesemua individu yang terdiri daripada tujuh lelaki dan seorang wanita itu, dikesan Bahagian Penguatkuasa Pejabat Hutan Daerah Johor Selatan dan anggota Balai Polis Batu Ampat, yang ketika itu membuat rondaan bersepadu bagi memantau aktiviti pencerobohan di hutan itu lagi.

“Hasil rondaan tersebut, pasukan rondaan telah membuat tangkapan dan semakan lapan individu disyaki telah menceroboh Air Terjun Sungai Pelepah Kiri dan kesemua mereka telah dibawa ke Balai Polis Batu Ampat untuk diambil keterangan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut kes berkenaan diambil Bahagian Penguatkuasaan dan Siasatan JPNJ dan seterusnya akan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan selanjutnya dan mereka yang terbabit boleh disabitkan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 47 (1) (c) Enakmen Perhutanan Negara (Pemakaian) 1985 Negeri Johor dan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

JPNJ menyatakan jabatan itu bersama agensi penguatkuasa yang lain akan sentiasa menjalankan operasi pemantauan bersepadu, bagi memastikan aktiviti pencerobohan dan lain-lain di dalam hutan simpan kekal dapat dibendung, sekali gus mengurangkan kemalangan yang berlaku di luar pengetahuan pihak berkuasa.

JPNJ turut menasihati orang awam agar mendapatkan maklumat yang jelas berkaitan keperluan dan kaedah permohonan permit memasuki hutan simpanan kekal di Pejabat Hutan Daerah terdekat sebelum menjalankan apa-apa aktiviti. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button