Artikel Khas

Teramat bodoh jika sengaja beri laluan PH kembali memerintah

UMNO-PAS-Bersatu kena sedar diri, fokus matlamat ke Putrajaya

JIKA PAS-UMNO (BN) sudah memuktamadkan, tidak mahu bersama menghadapi PRU15, maka suka atau tidak, perancangan strategik mesti dilakukan oleh kedua parti berpengaruh ini, untuk mengelakkan PH memerintah, meskipun tidak bersama.

Jika tidak, pasti berputih mata. Ketika itu sudah terlambat. Ditakdirkan PH kembali memerintah, mereka akan gunakan segala ruang dan peluang untuk ‘mematikan’ pengaruh parti lawan.

Dengan kuasa dan wang, mereka boleh lakukan apa sahaja. Sama seperti ketika UMNO (BN) berkuasa. Apa yang tidak dilakukan untuk ‘mematikan’ parti lawan. Fenomena biasa dalam politik. Semua orang tahu dan memahami.

Kerusi panas yang dimenangi oleh PH dalam PRU14 dengan majoriti kecil mesti dirampas kembali dengan mengelakkan pertandingan lebih dua penjuru. Jika berjaya dirampas, baharulah boleh bersedap hati.

Namun, berlaku sebaliknya, keadaan sama seperti sekarang, tiada beza. Kerajaan tidak stabil, pelabur takut untuk melabur, ekonomi akan menjadi makin buruk.

Terdapat lebih kurang 30 kerusi panas, yang kritikal, perlu elakkan pertandingan lebih dua penjuru. Jika tidak, pasti PH akan berjaya mengekalkannya. Apakah itu yang dimahukan oleh UMNO-PAS. Fikirkanlah, wahai pemimpin UMNO-PAS yang bijaksana dan bijaksini. Gunakanlah kekuatan akal yang ada untuk memikirkan langkah strategik ini, meskipun tidak bersama secara rasmi.

Kadangkala, tidak ada erti juga bersama secara rasmi, jika saban hari saling salah menyalah, sindir menyindir. Biarlah kekal sebegini, asalkan tahu matlamat yang ingin dicapai, iaitu untuk ke Putrajaya, membela nasib rakyat.

Berbalik kepada kerusi panas, antaranya adalah, Sungai Besar, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Kapar, Kuala Langat, Kubang Pasu, Pokok Sena, Kuala Kedah, Merbok, Sungai Petani, Kulim Bandar Baharu, Kangar, Jerlun, Parit Buntar, Tambun, Lumut, Raub, Indera Mahkota, Kuantan, Temerloh, Titiwangsa, Kuala Pilah, Tampin, Sri Gading, Tanjung Piai, Tangga Batu, Putatan dan sebagainya.

Kerusi-kerusi ini jika diberikan laluan kepada UMNO (parti bukan PH), pertandingan satu lawan satu, peluang untuk UMNO (atau PAS) menang adalah tinggi. Seterusnya memberikan laluan untuk UMNO dan rakan parti yang lain untuk terus memerintah.

Bagi memastikan langkah tersebut menjadi realiti, beberapa isu utama berikut mesti ditangani.

Pertama, UMNO-PAS-PPBM kena sedar diri dan asal usul. Semua mesti bersifat terbuka dan lapang dada. Fikirkan soal matlamat untuk ke Putrajaya, bukan soal peribadi.

Kedua, UMNO harus muhasabah. Jangan terlalu menampakkan kesombongan dan bongkak, meskipun kamu ‘abang besar’. Rakyat tidak suka sifat seperti itu, terutama anak muda. Undi 18 adalah penentu. Pastikan undi18 tidak bosan dengan kerenah yang berlaku.

Ketiga, tidak ada satu parti pun boleh menang secara solo. Justeru, jangan bongkak, sombong dan takkabbur. Keluarkan kenyataan atau pandangan politik yang ada hikmah dan beradab sopan. Kita saling perlu memerlukan. Tidak ada kemenangan solo hari ini. Keadaan tidak seperti dahulu.

Keempat, wahai pemimpin UMNO, jika PAS sudah memilih PPBM (PN), tidak mengapalah, itu bukan bermakna semua pintu sudah tertutup. Saya amat yakin, dengan jiwa dan semangat Islam yang ada, masih ada ruang untuk bertolak ansur, supaya nanti kita tidak ditolak beransur-ansur.

Kelima, ingat kata-kata Hamka ini. Anggaplah UMNO-PAS sebagai sahabat seperti mana pesanan Hamka.

Adakalanya kita bersalah
Allah datangkan sahabat untuk menegur

Adakalanya kita betul
Allah datangkan sahabat yang patut ditegur

Adakalanya kita diuji
Allah datangkan sahabat untuk bantu kita

Adakalanya sahabat kita diuji
Allah beri kekuatan untuk kita bantu dia

Jadi, hargailah sahabat
Mungkin kerana dia, kita masuk syurga

UMNO-PAS, kamu ibadat dua sahabat, sebangsa dan seagama, kiblat yang sama, apa lagi yang memisahkan kamu sehingga saling membenci, tidak boleh lagi duduk semeja.

Keenam, ingat kata Hamka lagi, yang melemahkan semangat ada dua perkara, pertama prasangka, kedua, busuk hati. Buangkanlah dua sifat ini, mestipun tidak lagi berada dalam muafakat. Sangka baik dan bersihkan hati.

Ketujuh, kamu pemimpin kedua parti ini, ada iman dan ilmu. Jadikan ia sebagai pedoman. Kata Hamka lagi, iman tanpa ilmu, bagaikan lentera di tangan bayi. Namun ilmu tanpa iman, bagaikan lentera di tangan pencuri. Berada dalam situasi apapun, jangan biarkan emosi menguasai kecerdasan diri kita.

Kelapan, UMNO jangan terlalu yakin boleh menang dengan bergerak solo, ingat kata Hamka lagi, jika anda sedang benar, jangan terlalu berani, jika anda sedang takut, jangan terlalu takut, kerana keseimbangan antara keduanya, adalah penentu kepada sebuah kejayaan. Rasa berani dan takut bukanlah untuk dinikmati, tetapi untuk dihadapi. Justeru, hadapilah kenyataan itu, meskipun tidak lagi bersama.

Kamu berdua sudah merasai keperitan ketika PH memerintah. Memanglah, semua orang berkata, seolah-olah tindakan PAS tidak mahu bersama UMNO itu tindakan ‘bodoh’. Namun, apalah yang nak dikatakan lagi, sudah itu keputusannya. Terima sahajalah. Itulah qada dan qadarnya. Kamu tetap sahabat, bersaudara, sebagaimana tuntutan agama.

Sekali lagi saya ingatkan, Undi18 yang melebihi tiga juta ini adalah penentu kepada kemenangan parti-parti politik bertanding.

Sebenarnya, anak muda sudah muak dengan permainan politik yang ada. Pilihan raya musim tengkujuh, ekonomi yang tidak stabil, peluang kerja yang mendesak, dan banyak lagi.

Janganlah ditambah lagi dengan pelbagai masalah, menjadikan anak muda bertambah bosan dengan perangai-perangai hodoh pemimpin hari ini. Ditakuti nanti, anak muda makin bosan dan memilih PH sebagai alternatif, ketika itu, menyesal pun tidak ada guna.

Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button